Henti permainan politik dalam situasi norma baharu
SHAH ALAM – Badan bukan kerajaan (NGO), Projek Wawasan Rakyat (POWR) menggesa semua pemimpin politik dan kumpulan penyokong masing-masing menghentikan permainan politik ketika rakyat terpaksa berdepan dengan norma baharu ekoran pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini.
Koordinator POWR, Faisal Aziz berkata, apa yang amat diperlukan Malaysia dalam kebiasaan baharu ini bukan politik yang berkisar soal nombor dan permainan ‘zero-sum’ tetapi visi perubahan yang lebih berani.
Menurutnya, POWR amat terganggu dengan ketidakstabilan politik di negara ini yang berpunca daripada perbuatan lompat parti ahli politik yang lalu.
“Sejak beberapa hari dan minggu lalu, media dipenuhi dengan khabar angin berkenaan kumpulan politik mana yang mempunyai sokongan sekali gus timbul nombor-nombor seperti 129, 113, 112 dan sebagainya.
“Burung Enggang pula kembali terbang menakluk media sosial seperti Twitter. Menteri pula mengadakan sidang media hanya untuk mengumumkan bahawa mereka tidak akan meletakkan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, keseluruhan landskap politik kini mula kelihatan seperti pentas sarkas tanpa ada penghujungnya.
“POWR melihat Langkah Sheraton sebagai satu perkara yang tidak bermoral dan tidak beretika sebagai punca utama berlakunya kemelut politik negara. Atas sebab yang sama, sebarang cubaan untuk kembali berkuasa dengan kaedah yang sama pasti akan menimbulkan pelbagai persoalan kontroversi.
“Oleh demikian, daripada hanya melihat pihak mana yang mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen terbanyak, mereka yang benar-benar ingin membawa perubahan wajar mengetengahkan idea tentang apa yang mereka ingin lakukan dan membawa sama kaedah pelaksanaannya,” katanya.
Faisal berkata, sekiranya politik Malaysia hanyalah berkisar tentang siapa yang lebih berkebolehan menghasut ahli politik untuk melompat parti dengan pelbagai tawaran, maka Malaysia akan selamanya kekal terperangkap dalam kitaran pengkhianatan dan rasuah.
"Individu dan kumpulan yang komited dengan agenda perubahan haruslah mengalih naratif politik negara sekarang ke arah agenda perubahan tersebut dan bukannya lebih bernafsu dalam permainan politik.
“Sekiranya ahli politik mengitar semula strategi kekuasaan mereka dalam sosio-budaya politik sama dan bukannya menyelesaikan masalah asasi yang membawa kita ke dalam situasi sekarang, maka tiada guna untuk rakyat berharap keadaan ini akan berubah, walau berapa banyak kali kerajaan berubah,” katanya.
Katanya, perubahan di Malaysia adalah satu marathon (proses) dan bukannya umpama satu larian pecutan, jadi keuntungan jangka pendek tidak seharusnya dikejar dengan mengorbankan prinsip bersifat jangka panjang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!