PKPP: Rakyat perlu amalkan kawalan kendiri
PUTRAJAYA - Kerajaan menasihatkan orang ramai sentiasa mengamalkan kawalan kendiri sebagai budaya baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok sehingga 31 Ogos 2020.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sepanjang tempoh PKPP kelonggaran akan diberikan kepada rakyat Malaysia untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara berterusan.
Menurutnya, antara kelonggaran yang diberikan termasuklah kebenaran perjalanan merentas negeri tanpa memerlukan kebenaran polis.
“Setelah lebih 80 hari tidak pulang ke kampung halaman, kini anda semua bolehlah menziarahi keluarga anda.
“Tetapi ingin saya menasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kawalan kendiri sebagai budaya baharu ketika menziarahi ahli keluarga terutamanya mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, rakyat juga perlu mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri pada setiap masa, selain kerap mencuci tangan dengan sabun serta memakai topeng muka ketika berada di tempat awam.
Katanya, bagi merangsang semula ekonomi negara, kerajaan turut membenarkan semula aktiviti pelancongan dalam negeri.
“Saya ingin menyeru kepada semua pengusaha pelancongan supaya mematuhi SOP ditetapkan.
“Bagi mereka yang ingin membawa keluarga mereka melancong dalam negeri, sentiasa amalkan norma baharu dan disiplin dirim namun aktiviti pelancongan antarabangsa tidak dibenarkan kerana sempadan negara masih ditutup," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!