Marta sambut baik kelonggaran PKPP
SHAH ALAM - Pertubuhan Penginapan Kediaman Pelancongan Malaysia (Marta) menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kelonggaran dibuat melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun ini sebagai 'perkhabaran indah' kepada pihaknya.
Pengerusinya, Suhairi Sulaiman menyambut baik pengumuman semalam yang turut membenarkan aktiviti pelancongan domestik dibuka semula dan tiada lagi sekatan rentas negeri.
"Marta mewakili seluruh pengusaha hom2stay seluruh Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga atas pengumuman tersebut memandangkan sudah hampir tiga bulan tidak dapat beroperasi.
"Pengusaha hom2stay sememangnya amat terkesan dengan keadaan yang berlaku apabila tiada tempahan yang berlaku.
"Jika ada tempahan pun, ia adalah daripada pasukan barisan hadapan yang memerlukan penginapan khas jauh daripada keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir pada 9 Jun ini dan digantikan dengan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.
Dalam tempoh PKPP itu, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara berterusan.
Suhairi berkata, pihaknya juga sangat mengharapkan bantuan dan sokongan penuh daripada kerajaan kerana Marta dan hom2stay juga antara industri yang menyokong sektor pelancongan.
"Kepada semua pengusaha hom2stay seluruh Malaysia, Marta berharap mereka dapat mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan antaranya rumah perlu disanitasi untuk dipastikan hom2stay bersih dan selamat diinap oleh tetamu, memastikan penjarakkan sosial satu meter, mengambil suhu tetamu dan pastikan suhu mereka tidak lebih 37.5C serta tidak mengambil tetamu dalam jumlah yang ramai.
"Kita juga mengharapkan agar setiap pengusaha memenuhi standard yang ditetapkan oleh kerajaan demi menjaga nama baik industri.
"Bagi kami, setiap pengusaha ialah duta kecil pelancongan di kawasan dan negeri masing-masing yang berusaha menarik pelancong datang ke kawasan mereka," katanya.
Dalam pada itu, Suhairi berkata, Marta juga sedang membuat penjenamaan semula dengan nama hom2stay ini agar membezakan industri itu dengan program homestay di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi memastikan ia dapat berkembang dengan sendiri.
Susulan itu katanya, Marta menyeru seluruh pengusaha hom2stay di negara ini agar mendaftar sebagai ahli persatuan supaya dapat bersama-sama dalam kesatuan dengan pelbagai perancangan dan program yang diatur bagi memastikan industri berkenaan menepati kehendak kerajaan, pada masa sama memberi kebaikan serta memastikan kebajikan ahli terjaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!