Penjana bantu pulih dan rancakkan semula sektor agromakanan
SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyifatkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan kerajaan pada minggu lalu sebagai satu pelan komprehensif dan bertepatan bagi membantu memulihkan dan merancakkan semula sektor ekonomi termasuk agromakanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pengumuman bantuan-bantuan strategik menerusi Penjana itu dilihat bukan sahaja dapat membantu rakyat sepanjang tempoh pemulihan ekonomi yang bersifat fiskal ini tetapi juga akan dapat melonjakkan sektor agromakanan negara dari keadaan ekonomi yang terjejas.
Katanya, ia secara langsung dapat membantu golongan terkesan terutamanya mereka yang mengusahakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan golongan yang berada dalam kategori B40.
Katanya, pengusaha PKS agromakanan yang terkesan akan dapat terus menampung kos operasi melalui Skim Pembiayaan Mikrokredit di bawah Agrobank yang bernilai RM350 juta dengan kadar faedah serendah 3.5 peratus sahaja.
"Ini akan memberikan lebih banyak peluang kepada usahawan untuk mendapatkan semula modal pusingan untuk memulakan kembali perniagaan yang kehabisan modal disebabkan PKP, malah jumlah pembiayaan maksimum sebanyak RM50,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun pula bagi memastikan pengusaha agromakanan tidak terbeban.
"Skim ini juga adalah sebagai galakan kepada usahawan baharu yang ingin menceburi bidang agromakanan sebagai modal permulaan, manakala bagi pengusaha sedia ada terutama peniaga pasar tani, pasar nelayan dan pasar pagi, skim ini boleh digunakan untuk memulakan semula perniagaan bagi menggantikan modal perniagaan yang terpaksa digunakan semasa tempoh PKP," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ronald berkata, selain itu, kerajaan juga menggalakkan pertanian bandar yang juga merupakan suatu trend global dengan menawarkan pakej yang menarik melalui sumbangan in-kind dalam bentuk bantuan input pertanian seperti benih, baja, infrastruktur,peralatan, khidmat nasihat dan latihan kepada individu dengan nilai RM500 bagi setiap penerima dan RM50,000 bagi setiap komuniti.
Beliau berkata, golongan B40 terutama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) amat digalakkan untuk mengusahakan antara lain tanaman jangka pendek (cash crop) terutama sayur-sayuran secara berkumpulan (komuniti).
Selain itu katanya, insentif yang disediakan kerajaan untuk memudahcara mobiliti tenaga pertanian kepada syarikat perintis bagi melatih dan mengajar tenaga kerja menceburi peluang dalam pertanian serta perladangan juga akan dapat menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi bidang agromakanan terutama mereka yang kehilangan pekerjaan, tetapi berminat dengan bidang agromakanan.
Dalam pada itu katanya, inisiatif kempen e-dagang yang diumumkan juga selaras dengan inisiatif yang dimulakan oleh kementerian sejak awal PKP dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan lebih daripada 50 platform e-dagang yang memasarkan produk pertanian terus kepada pengguna (B2C) sudah dikenalpasti.
"Bagi menjayakan inisiatif kempen e-dagang di bawah Penjana, pihaknya bersedia dan akan terus bekerjasama dengan agensi peneraju serta platform e-dagang terpilih yang bersedia memberikan 'latihan on boarding', subsidi jualan, dan khidmat sokongan jualan untuk memastikan golongan sasar di bawah kementerian mendapat manfaat daripada kemudahan yang disediakan.
"Saya amat menggalakkan penggunaan e-dagang oleh pengusaha agromakanan sebagai platform pemasaran yang efektif dalam menembusi pasaran dalaman dan global pada masa akan datang. Kita juga berperanan sebagai pemudahcara dalam menjayakan setiap pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan," katanya.
Ronald berkata, kementerian juga sedang melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020) pertama dan kedua serta kini untuk Penjana bagi memastikan sektor agromakanan dapat pulih dengan segera di setiap peringkat rantaian makanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi serta berkhasiat.
"Terdapat pelbagai skim, program dan insentif yang komprehensif telah diumumkan oleh Perdana Menteri dan semua ini mesti dilaksanakan dengan cepat, tepat dan efisien supaya dimanfaatkan oleh rakyat.
"Secara umumnya, inisiatif-inisiatif yang diumumkan itu kesemuanya amat bertepatan dan akan dapat membantu keseluruhan sektor ekonomi termasuk pengusaha agromakanan untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing dengan terus menyumbang kepada industri agromakanan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!