Armada Kelantan mahu individu terlibat kes SPRM digantung keahlian

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Kelantan mahu mereka yang terlibat kes dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung wang rampasan berjumlah RM600,000 digantung keahliannya sementara siasatan dijalankan.

Dalam satu kenyataan secara bersama hari ini, Armada Kelantan juga mengharapkan tindakan tegas diambil terhadap kumpulan yang mencemari nama Armada jika kesemua mereka yang ditangkap disabitkan kesalahan.

“Kami seramai 14 orang Ketua Armada Bahagian di Kelantan mengecam tindakan ini yang merosakkan imej Armada keseluruhannya hanya kerana segelintir pemimpin Armada atasan yang melakukan perkara terkutuk ini.

“Kami berharap pimpinan atasan Bersatu membersihkan kesemua individu yang terlibat dengan kes ini dan menggantung keahlian mereka seketika sementara siasatan dijalankan. Perkara ini perlu dijadikan iktibar kepada mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM rampas RM600,000 di rumah ahli Armada

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama Ketua Armada Pasir Mas, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan; Ketua Armada Pengkalan Chepa, Nas Azreel Nasruddin; Ketua Armada Tanah Merah, Mohd Ridhwan Nordin dan Ketua Armada Machang, Ahmad Firdaus Nawi.

Selain itu kenyataan tersebut juga melibatkan sokongan daripada, Ketua Armada Gua Musang, Nik mohd Haniff Paramli; Ketua Armada Tumpat, Mohd Suhardi Mohd Fauzi; Ketua Armada Kota Bharu, Datuk Saizo Abd Ghani dan Ketua Armada Jeli, Mohd Ilmie Sapie.

Turut sama ialah Ketua Armada Bachok, Mohd Fami Zakaria; Ketua Armada Rantau Panjang, Syed Mohd Amiruddin Syed Aluawi; Ketua Armada Ketereh, Aiman Zawawi dan Ketua Armada Kuala Krai, WM Syakir WM Azlan

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Armada Kelantan berharap siasatan dijalankan dengan adil dan mengikut lunas undang undang.

“Siasatan ke atas penyalahgunaan dana ini adalah bukan bermotifkan politik di saat pemilihan dalaman Armada Bersatu ketika ini tetapi adalah disebabkan siasatan yang dilakukan berikutan kehilangan wang RM250,000.00 di dalam peti besi di rumah bekas Ketua Armada Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tersendiri gugur dari keahlian Bersatu baru/baru ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut juga menyebut kesemua Ketua Armada Bahagian Negeri Kelantan menyokong keputusan yang diambil Majlis Pimpinan Tertinggi serta Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap tindakan kepada lima bekas pemimpin Bersatu yang gugur dari keahlian secara automatik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!