Yuran taska bawah RM600 tidak dapat tampung kos operasi
KUALA LUMPUR - Taman asuhan kanak-kanak (Taska) yang mengenakan yuran RM600 dan ke bawah sebulan tidak dapat menampung kos operasi terutama semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad mencadangkan kadar yuran itu dinaikkan bagi memastikan kelangsungan operasi taska.
“Walaupun sejak 4 Mei lepas ada taska yang sudah beroperasi dan semakin banyak taska akan dibuka pada 9 Jun ini, namun dengan bilangan kanak-kanak yang terpaksa dikurangkan sehingga 50 peratus bagi mematuhi penjarakan sosial, maka kutipan yuran juga berkurang.
“Hal ini secara tidak langsung telah menjejaskan operasi taska kerana tidak dapat menampung beberapa kos seperti gaji pengasuh taska, sewa premis, bil api dan air, makan dan minum serta alat bantuan mengajar. Kita tunggu dalam dua hingga tiga bulan lagi dan lihat sama ada operasi taska ini boleh bertahan atau tidak,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keluhan pengendali taska yang menzahirkan kerisauan operasi taska mereka terjejas susulan pelaksanaan PKP dan PKPB oleh kerajaan sejak 18 Mac lepas.
Anisa berkata, ibu bapa juga hendaklah mengambil berat mengenai kenaikan kadar yuran itu kerana kos operasi taska kekal meskipun bilangan kanak-kanak di sesebuah taska berkurangan.
“Kenaikan kadar yuran taska ini perlu dimaklumkan kepada ibu bapa kanak-kanak dan dilampirkan juga dalam perjanjian baharu pembayaran yuran taska,” katanya.
Sementara itu, Anisa menzahirkan kesyukuran terhadap pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang memberi geran secara ‘one off' sehingga RM5,000.
Geran itu diberikan kepada pengendali taska yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sehingga 31 Disember depan bagi menggalakkan mereka mematuhi dan melaksanakan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.
“Tidak kira berapa banyak peruntukan yang diberikan kerajaan, sekurang-kurangnya duit itu dapat digunakan untuk mensanitasi premis taska dan baik pulih beberapa peralatan di dalamnya,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!