Peguam suspek tembak jatuh MH17 salahkan pandemik Covid-19
AMSTERDAM - Peguam suspek warga Rusia dalam perbicaraan empat tertuduh yang didakwa menembak jatuh pesawat MH17 semalam menyalahkan pandemik koronavirus (Covid-19) kerana menjejaskan usaha untuk mempersiapkan pembelaan awal.
Perbicaraan berprofil tinggi ke atas tragedi yang meragut kesemua 298 penumpang pada 2014 disambung semula hari ini selepas ditangguhkan selama dua bulan setengah berikutan wabak tersebut mencapai kemuncak di Belanda.
"Semua sekatan yang dilaksanakan itu memberi impak besar kepada persediaan untuk membela Oleg Pulatov.
"Kontak dengan klien kami juga sangat terhad hingga menyukarkan perbincangan tentang perkara yang relevan untuk pembelaannya," kata Sabine ten Doesshcate ketika perbicaraan di mahkamah dilengkapi kawalan keselamatan ketat di luar Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam.
Menurutnya, kesukaran itu termasuk butiran pertuduhan terhadap Pulatov dan sama ada Belanda mempunyai bidang kuasa untuk perbicaraan kes tersebut.
Sebelum ini, Pulatov bersama rakan senegaranya, Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan warga Ukraine, Leonid Kharchenko berdepan tuduhan membunuh dan menyebabkan nahas pesawat MH17 tersebut.
ARITKEL BERKAITAN: MH17: Perbicaraan terhadap empat suspek bermula 9 Mac ini
Keluarga, wartawan sedia ikuti perbicaraan MH17 Isnin ini
Perbicaraan yang ditunggu-tunggu
MH17: Pendakwaan baca nama 298 mangsa terkorban
Difahamkan, Belanda melaksanakan 'lockdown' disusuli Rusia tidak lama kemudian ketika perbicaraan terakhir pada 23 Mac lalu tanpa kehadiran mana-mana suspek dan hanya Pulatov diwakili peguam bela.
Pendakwa raya mendakwa keempat-empat suspek yang dikaitkan dengan kumpulan pemisah pro-Rusia itu menggunakan sistem misil BUK yang dibawa dari Rusia ke wilayah timur Ukraine ketika ia menembak jatuh pesawat MH17 itu semasa ia dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.
Jika disabit bersalah, kesemua mereka bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup.
Rusia beberapa kali menafikan penglibatan mereka dan turut menawarkan siri penjelasan alternatif terhadap tragedi tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!