Pembeli PPAM di Bandar Baru Jasin Bestari resah rumah belum siap
JASIN - Lebih 500 penjawat awam resah apabila rumah yang dibeli menerusi projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Bandar Baru Jasin Bestari sejak tiga tahun lalu belum disiapkan seperti dijanjikan.
Pembeli, Sharul Sahak, 32, berkata, sebelum ini pemaju menetapkan rumah yang dibeli pada harga RM162,000 sejak tiga tahun lalu akan siap pada Mei tahun lalu, namun malangnya keadaan rumah bukan sahaja tidak siap, malah projek berkenaan juga didakwa tidak berjalan sepanjang tahun lalu hingga sekarang.
Menurutnya, beliau bukan sahaja berasa tertipu, malah terbeban kerana terpaksa membayar bayaran pinjaman perumahan berjumlah RM815 sebulan dan sewa rumahnya di Peringgit memandangkan rumah masih lagi belum dapat diduduki.
Katanya, beliau turut mendakwa peguam tidak menjelaskan mengenai bayaran pulangan denda lewat satu peratus kepada pembeli hingga menimbulkan tanda tanya dan ketidakpuasan hati dalam kalangan pembeli.
"Dah lebih setahun gaji ditolak pinjaman perumahan, tapi rumah kami masih tak siap dan saya terpaksa bayar dua rumah, keadaan ini benar-benar membebankan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semasa.
"Sepatutnya pemaju memberikan penjelasan mengenai kelewatan yang berlaku lebih awal agar kami tidak bimbang dan rasa tertipu," katanya.
Bagi Zaidar Hanum Abu Bakar,32, berkata, pula, beliau merayu agar projek perumahan itu dapat disiapkan secepat mungkin supaya tanggungan bulanan yang ditanggung pembeli dapat dikurangkan.
Menurutnya, mereka cuba untuk mendapatkan pengurangan pembayaran, tetapi akhirnya ditolak kerana langkah itu tiada dalam dasar Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) selain telah beberapa kali membuat aduan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Bila kita berhubung dengan pemaju, mereka hanya memberi alasan pertukaran kerajaan dan kemudian disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19).
"Kami sendiri tertanya-tanya bila rumah boleh siap dan dalam tempoh itu saya juga telah membuat aduan secara rasmi dalam sistem KPKT termasuk menghubungi LLPPSA dan harap projek rumah kerajaan ini dapat diselesaikan segera," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, wakil pemaju yang mengadakan sesi pertemuan ringkas bersama pembeli bagaimanapun enggan memberi kerjasama kepada wakil media yang berada di lokasi berkenaan.
Difahamkan, pemaju berjanji kepada pembeli untuk menyiapkan sepenuhnya projek yang membabitkan 546 unit rumah secara berperingkat mengikut jenis rumah pada Julai dan September ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!