Kawalan kendiri jadi cara hidup baharu rakyat
SHAH ALAM – Cara hidup rakyat berubah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di negara ini tiga bulan lalu apabila dianggarkan kira-kira 99 peratus daripada mereka dilihat mengamalkan kawalan kendiri untuk bersama-sama memutuskan rantaian penularan koronavirus (Covid-19).
Pakar Kaunseling dan Motivasi, Hushim Salleh berkata, ketakutan terhadap penularan virus pembunuh itu memberi kesan kepada psikologi rakyat dan mendorong mereka melakukan kawalan dan disiplin kendiri.
“Kita tahu Covid-19 boleh berjangkit dan setakat ini vaksin virus ini juga masih belum ada, jadi perkara ini beri kesan kepada psikologi kita.
“Sebab itu ia ubah cara hidup kita ketika ini. Sekarang ada orang yang dah tak bersalaman walaupun jumpa kawan baik sekalipun masing-masing dah tak nak bersalaman macam biasa. Kita juga dah biasa pakai topeng muka kalau keluar rumah dan sentiasa jaga jarak kita dengan orang lain,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, menurutnya, perubahan budaya hidup itu merupakan pencegahan kendiri yang dilakukan rakyat atas kesedaran yang timbul dalam diri mereka tentang ancaman wabak itu yang kini telah meragut ratusan ribu nyawa seluruh dunia.
Ibarat hikmah di sebalik musibah, Hushim berkata, penyebaran Covid-19 mendidik dan mengajar rakyat tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur tentang disiplin diri bahkan apa yang luar biasa, hanya dalam tempoh tiga bulan sahaja tahap disiplin rakyat negara ini tidak ubah seperti disiplin tinggi yang sudah lama tertanam dalam diri rakyat Jepun.
“Sekarang kita lihat dah jadi budaya dalam masyarakat kita untuk beratur ketika di pasar raya, restoran dan sebagainya. Keadaan ini tidak ubah seperti budaya masyarakat Jepun yang sentiasa beratur di tempat awam seperti ketika menggunakan pengangkutan awam.
“Malah, kita juga saling ambil berat dan peduli dengan orang sekeliling kita. Misalnya semasa berada di bank baru-baru ini, saya lihat seorang wanita menegur seorang lelaki yang tak pakai topeng muka.
“Pada masa sama, kita juga terkejut kerana golongan kanak-kanak yang dianggap tidak faham apa-apa juga tahu tentang bahaya Covid-19 dan mereka juga amalkan kawalan kendiri dengan sentiasa basuh tangan dan pakai topeng muka.
Malaysia menguatkuasakan PKP pada 18 Mac lalu diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lepas bagi mengekang jangkitan Covid-19.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB yang akan berakhir esok akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula pada Rabu ini hingga 31 Ogos depan dan dalam tempoh itu lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat termasuk rentas negeri dan pelancongan domestik.
Sehubungan itu, Hushim mengingatkan rakyat agar mengekalkan disiplin dan kawalan kendiri dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun ketika pergi melancong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!