Kes global Covid-19 lebih tujuh juta
BRASILIA - Jumlah kes jangkitan global koronavirus (Covid-19) mencecah lebih tujuh juta hari ini selepas kematian semakin meningkat di negara Amerika Latin.
Peningkatan jumlah korban wabak itu direkodkan dari Brazil, Mexico hingga ke Peru yang turut menjadikan total kematian mencecah lebih 403,000 orang.
Ketika ini, krisis di Brazil dilaporkan semakin membimbangkan selepas ia menjadi negara ketiga mencatatkan kematian tertinggi dengan lebih 36,000 orang.
Namun, Presiden Jair Bolsonaro masih memandang rendah ancaman virus tersebut hingga mencetuskan protes di negara itu dan mencetuskan kebimbangan penularan wabak terbabit akan menjadi lebih buruk.
Di Chile, angka korban wabak itu telah mencecah hampir 2,300 orang selepas kesilapan data pada Mac dan April yang telah menambah 1,541 lagi kes kematian.
Di Eropah, beberapa negara mula berada dalam situasi pasca pandemik dan kebanyakannya berusaha menghidupkan semula sektor pelancongan pada kemuncak musim panas.
Di rantau Asia Pasifik, segelintir negara termasuk Singapura dan Malaysia sudah mula menjalani kehidupan normal baharu selepas langkah melonggarkan sekatan dibuat secara berperingkat. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!