FPK harmonikan Islamik-yahudi

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

BILA Bapa Reformasi Kurikulum Israel, Benjamin Bloom mencipta Taksonomi Bloom yang membahagikan domain pentaksiran akademik kepada tiga (kognitif, afektif dan psychomotor), para profesor pendidikan kita ada tiga alternatif dalam membentuk FPK (Falsafah Pendidikan Kebangsaan).

Alternatif pertama, bersaing dengan ketokohan ilmiah Yahudi dengan mencipta taksonomi tersendiri mengikut acuan falsafah pendidikan Nusantara-Islam atau kedua, mencampuradukkan acuan Nusantara-Islam dan acuan Yahudi Bloom atau alternatif ketiga, menciplak 100 peratus acuan Bloom.

Alternatif pertama iaitu mencipta taksonomi sendiri adalah sukar kerana Malaysia merupakan masyarakat majmuk. Lagipun timbul persoalan sejauh manakah para profesor pendidikan kita mampu bersaing dengan ketokohan ilmiah Yahudi?

Alternatif ketiga yang diciplak terus sudah tentu tidak diterima bagi yang sekurang-kurangnya memiliki kad pengenalan Islam. Jadi, alternatif kedua adalah paling ‘seimbang dan harmonis’. Seimbang antara Islamik dan Yahudi. Ambil yang baik daripada kedua-dua sumber dan harmonikan!

Bagaimana harmonikan Islamik dan Yahudi? Ambil tiga domain Yahudi Bloom lalu tempel dengan domain rohani. ‘TerIslamiklah’ pentaksiran mengikut JERI (Jasmani-Psychomotor, Emosi-Afektif, Rohani dan Intelek- Kognitif). Tak perlu para profesor susah payah buat taksonomi sendiri. Template sudah disediakan. Profesor hanya perlu tampal satu domain lebih.

Tetapi bagaimana menaksir tahap kerohanian seseorang? Seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan berusaha membuat perisian komputer JERI untuk menaksir keperatusan rohani pel¬ajar! Hanya key-in nilai-nilai digital, dapatlah keseimbangan dan keharmonian JERI, termasuk rohani! Bagaimana menilai rohani pelajar?

Salah satu cara ilmiah ialah berdasarkan keputusan peperiksaan subjek agama SPM! Ada yang berdasarkan jumlah kehadiran khemah ibadah qiyamullail dan wirid! Mungkin satu hari nanti, pentaksiran ilmiah rohani boleh juga dibuat berdasarkan bilangan tasbih dengan apps!

Definisi

Artikel Berkaitan:

Banyak masalah timbul akibat harmonisasi Islamik dan Yahudi. Contohnya, ‘marah’ itu diletak dalam domain emosi atau rohani? Untuk mendefinisikan marah, teori Emotional Intelli¬gence karangan seorang lagi ilmuwan Yahudi bernama Daniel Goleman adalah sangat popular dalam kalangan profesor pendidikan.

Profesor Thomas Dixon, seorang pengkaji sejarah, menulis buku ilmiah yang cukup tinggi yang diterbitkan oleh Universiti Cambridge bertajuk From Passions to Emotions: The Creation of a Secular Psychological Category.

Dixon bongkarkan perkataan perasaan (passion) yang telah digantikan dengan perkataan emosi dan dipopularkan sebagai istilah psikologi sebenarnya ada agenda sekularisasi antiagama yang memisahkan emosi daripada rohani dan qalbu.

Kita lihat bagaimana istilah hati budi (qalb) tidak termaktub dalam FPK walaupun dalil naqli menyatakan kalau rosak hati budi (qalb), rosaklah segala-galanya.

Bagi penulis, sudah tiba masanya falsafah pendidikan Nusantara dan Islam yang berpaksikan jati diri dan budi dikembalikan.

Kita perlu falsafah pendidikan baharu di mana isi utamanya mengikut falsafah pendidikan Nusantara dan Islam. Jangan berjubahkan ayat percaya dan patuh kepada Tuhan tetapi isinya Yahudi.

Secara kasarnya, falsafah pendidikan mengikut acuan Nusantara dan Islam adalah yang menyemai ilmu yang bermanfaat dan benar dalam hati budi (qalb) insan agar membina kekuatan jati diri dari segi jasmani (melakukan), akal budi (memikir), budi bahasa (menutur) dan budi pekerti (menyantuni) serta melahirkan insan yang beramanah dalam hubungannya dengan Tuhan, manusia, alam dan negara. Itu adalah untuk membentuk pahlawan negara yang budiman dan berdaya saing membina tamadun dunia.

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!