Gaduh sampai mati
KEPONG - Seorang lelaki warga Nepal maut ditikam sementara rakannya cedera parah dalam pergaduhan di sebuah apartmen di Taman Wangsa Permai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kejadian berlaku jam 12.40 tengah malam itu menyebabkan mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan maut di lokasi sementara rakannya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
“Kita menahan sepuluh lelaki warga asing juga rakan serumah mangsa yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan ini. Mereka ditahan terdiri enam warga Nepal, dua Bangladesh dan dua Myanmar yang turut cedera.
“Punca pergaduhan masih dalam siasatan dan usaha mengesan serta menangkap lain-lain suspek terlibat sedang dijalankan,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 25 Januari ini untuk membantu disiasat kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!