269 etnik Rohingya ceroboh perairan Langkawi
ALOR SETAR - Seramai 269 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) etnik Rohingya yang mendarat di Langkawi ditahan di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi untuk sementara waktu.
Penahanan sementara di kem tersebut dilakukan selepas agensi penguatkuasaan keselamatan menerima maklumat berkenaan cubaan bot dinaiki etnik terbabit menceroboh perairan Langkawi, semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan National Task Force (NTF), Pegawai Pemerintah Maritim Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Langkawi menerima maklumat berkenaan kira-kira jam 10.30 malam.
"Bertindak atas maklumat berkenaan sebuah bot RH 9 dari Pasukan Polis Marin dan Kapal Maritim Kimanis dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) digerakkan ke kawasan terlibat untuk melaksanakan operasi pemantauan dan pengusiran.
"Pada jam 5 pagi tadi, Kapal Maritim Kimanis berjaya mengesan lokasi serta memintas bot tersebut di perairan Langkawi serta bersedia melaksanakan proses pengusiran bot tersebut ke perairan antarabangsa," katanya.
Bagaimanapun katanya, ketika kapal menghampiri bot tersebut seramai 53 orang etnik Rohingya terjun ke laut dan berenang menuju ke pantai.
"Tetapi mereka berjaya ditahan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sudah bersedia menanti di daratan.
"Ketika pemeriksaan ke atas bot dijalankan didapati seramai 216 orang PATI Rohingya dan seorang mayat wanita dijumpai di dalam bot tersebut.
"Pemeriksaan juga mendapati bot sengaja dibocorkan dan enjin bot tersebut juga mengalami kerosakan yang teruk dan tidak dapat dibaiki," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sekumpulan pelarian Rohingya mendarat di Langkawi
Menurut kenyataan itu, kerosakan yang dialami bot tersebut menyebabkan tindakan pengusiran tidak dapat dilakukan.
"Kapal Maritim Kimanis memberikan bantuan makanan dan air bersih yang secukupnya kepada kumpulan etnik berkenaan.
"Atas dasar kemanusiaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan bot itu ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi dan mayat wanita berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Menurut kenyataan itu, NTF melaksanakan Op Benteng Covid-19 secara bersepadu yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Maritim Malaysia dan agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain komited dalam memastikan sempadan perairan dan daratan negara tidak diceroboh PATI atau anasir asing demi memelihara kedaulatan dan kesejahteraan negara.
"Sehingga semalam, seramai 396 orang PATI, 108 orang tekong dan 11 orang penyeludup ditahan, manakala seramai 140 PATI, enam tekong dan 22 buah bot diusir ketika cuba mencerobohi sempadan negara," katanya.
Dalam pada itu, masyarakat turut digesa untuk terus memberi kerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan aktiviti melibatkan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan melalui hotline Pusat Operasi NTF, 011-62511223.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!