269 warga Rohingya ditahan, satu mayat ditemukan dalam bot
KUALA LUMPUR - Seramai 269 warga Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi ditahan awal pagi semalam dengan pihak berkuasa turut menemukan mayat seorang wanita dalam bot yang dinaiki pendatang tanpa izin itu.
National Task Force (NTF) dalam kenyataan berkata, kesemua mereka ditahan pada kira-kira jam 5 pagi semalam hasil maklumat Pegawai Pemerintah Maritim Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Langkawi beberapa jam sebelum itu.
Menurut kenyataan itu, sebuah bot Pasukan Polis Marin (PPM) dan Kapal Maritim (KM) Kimanis dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah diatur gerak ke kawasan terlibat untuk melaksanakan operasi pemantauan dan pengusiran bot terbabit ke perairan antarabangsa.
“Ketika KM Kimanis menghampiri bot itu, seramai 53 warga Rohingya telah terjun ke laut dan berenang menuju ke pantai dan kesemua mereka telah berjaya ditahan oleh anggota APMM yang telah bersedia di daratan.
“Selain itu, pemeriksaan ke atas bot mendapati seramai 216 warga Rohingya dan mayat seorang wanita turut ditemukan di dalam bot itu,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, pemeriksaan juga mendapati bot berkenaan telah sengaja dibocorkan manakala enjinnya turut mengalami kerosakan yang teruk dan tidak dapat dibaiki seterusnya tindakan pengusiran tidak dapat dilakukan.
KM Kimanis turut memberikan bantuan berupa makanan dan air bersih kepada pendatang tanpa izin itu dan atas dasar kemanusiaan, Majlis Keselamatan Negara telah membenarkan bot berkenaan ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi.
“Kesemua 269 pendatang tanpa izin itu kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi manakala mayat itu telah diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.
NTF yang melaksanakan Op Benteng secara bersepadu melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, APMM dan agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain komited dalam memastikan sempadan perairan dan daratan negara tidak dicerobohi pendatang tanpa izin atau anasir asing demi memelihara kedaulatan dan kesejahteraan negara.
Semalam, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan seramai 396 pendatang tanpa izin dan 108 tekong telah ditahan dalam Op Benteng sejak 1 Mei lepas sehingga kelmarin atas cubaan memasuki sempadan negara secara haram.
Ekoran itu, pihak berkuasa juga menahan 11 individu disyaki penyeludup serta menyita 13 kapal selain berjaya mengusir 140 pendatang tanpa izin, enam tekong serta 22 kapal yang membuat cubaan membolosi kawasan sempadan negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!