Waspada keadaan kesihatan sebelum balik kampung
KUANTAN - Warga Pahang dinasihatkan memastikan tahap kesihatan dalam keadaan baik sebelum merancang pulang ke kampung susulan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail Ismail berkata, rakyat hendaklah beringat dan menghindari jangkitan koronovirus (Covid-19) susulan kebebasan yang diberikan itu.
"Saya ingatkan kepada semua rakyat Malaysia, khususnya anak-anak Pahang agar terus berwaspada. Jika ada sebarang simptom segera mendapatkan khidmat kesihatan di pusat perubatan bertauliah dan mengamalkan pengasingan kendiri.
"Ini kerana virus Covid-19 masih lagi menjadi ancaman kepada kita semua, sungguhpun kesan jangkitan kepada rakyat Malaysia telah berkurangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, amalan penjarakkan sosial, menjaga kebersihan secara terperinci dan optimum masih perlu dilaksanakan.
Selain itu, Wan Rosdy mengingatkan premis-premis perniagaan dapat mematuhi garis panduan.
"Saya harap peniaga dapat mematuhi langkah-langkah keselamatan dengan ketat," katanya.
Tambah beliau, semoga dengan langkah pemulihan dapat meningkatkan semula ekonomi negara dan berupaya untuk bangkit bagi merencana masa hadapan lebih baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!