Tarikh pembukaan sekolah diketahui esok

Muslimin (kiri) meninjau makmal sains SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh yang telah di susun mengikut garis panduan baharu yang ditetapkan.
Muslimin (kiri) meninjau makmal sains SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh yang telah di susun mengikut garis panduan baharu yang ditetapkan.
A
A
A

IPOH - Tarikh pembukaan sekolah melibatkan 398,446 pelajar dijangka diketahui esok.

Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berkata, keputusan itu akan diumumkan selepas perinciannya dibincangkan dalam mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jinin hari ini.

“Kita menunggu keputusan daripada Menteri Pendidikan untuk buat pengumuman bila sekolah akan dibuka semula. Petang ini kita akan buat keputusan penting setelah adakan mesyuarat bersama KKM dan MKN.

"Esok sekiranya diputuskan bila (pembukaan sekolah), sekolah akan dibuka selepas dua minggu pengumuman dibuat. Selagi tiada pengumuman, selagi itu sekolah tidak dibuka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, Manjoi di sini hari ini.

Menurutnya, fasa pertama pembukaan sekolah melibatkan pelajar tingkatan lima dan enam sahaja yang bakal menjalani peperiksaan termasuk peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM).

Muslimin (dua dari kanan) melawat SMK Raja Permaisuri Bainun, Manjoi hari ini dalam lawatan kerjanya ke Perak.
Muslimin (dua dari kanan) melawat SMK Raja Permaisuri Bainun, Manjoi hari ini dalam lawatan kerjanya ke Perak.

“Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melibatkan 347,177 pelajar, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah 45,596, SVM (2,935) dan STAM pula melibatkan 2,738 pelajar.

Artikel Berkaitan:

“Beberapa garis panduan baharu disediakan KKM yang akan diikuti di setiap sekolah. Kita telah buat simulasi pada 8 Mei lalu melibatkan beberapa sekolah di Selangor dan Putrajaya. Garis panduan itu telah sampai ke tangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga pihak pentadbiran sekolah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pembukaan semula sekolah adalah melibatkan semua guru dan tidak terhad kepada guru Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam.

“Setiap guru akan membantu kerana jika dahulu ia melibatkan lima kelas kini menjadi 10 kelas atau lebih bergantung kepada kapasiti. Setiap kelas mempunyai antara 16 hingga 20 pelajar.

“Kita memerlukan ramai tenaga guru dan kita lebih baik setiap guru hadir sama beri bantuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar berjalan lancar,” katanya.

Ditanya mengenai kebimbangan ibu bapa keselamatan anak-anak ketika dalam tempoh pemulihan pandemik koronavirus (Covid-19), Muslimin berkata, pihak JPN dan PPD akan memastikan pihak sekolah mengikut garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Keutamaan kita adalah keselamatan pelajar-pelajar. Walaupun ibu bapa risau hantar anak-anak, kita beri jaminan pelajar yang tidak bergejala akan dibenarkan.

“Sekiranya menunjukkan gejala seperti demam atau batuk, mereka dinasihatkan untuk pulang atau disaring di bilik kesihatan di sekolah. Kita menggalakkan ibu bapa mengenalpasti tanda-tanda gejala sebelum hantar anak ke sekolah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!