Saya tidak mengaku salah, kata Kang Ming Han
KUALA KUBU BHARU - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga melanggar dan menyebabkan kecederaan terhadap dua wanita pada 22 Mei lalu.
Tertuduh, Kang Ming Han,32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.
"Saya tidak mengaku salah", kata lelaki itu sambil menggeleng apabila disoal jurubahasa mahkamah sama ada mengaku bersalah atau tidak terhadap pertuduhan tersebut selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux didapati memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan menyebabkan dia tidak dapat mengawal kenderaan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.
Dia didakwa telah melanggar kenderaan pacuan empat roda Ford dan mencederakan pemandu, Farina Hazlin Mohd Shaiful Azmi,28, dan penumpangnya, Yusanisah Mohamed Jais,42.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Cempaka Bukit Sentosa (di hadapan Balai Bomba Bukit Sentosa), Hulu Selangor di sini pada kira-kira jam 6.30 petang 22 Mei lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM8,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 maksimum.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Muhamad Amin menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.
Peguam, Muhammad Adhwa Azfar memohon jaminan RM1,000 memandangkan anak guamnya sebelum ini telah diikat jamin sebanyak RM20,000 atas pertuduhan lain.
“Saya memohon jaminan dikurangkan namun atas budi bicara mahkamah dan memohon tarikh sebutan pada 1 Julai sama dengan tarikh sebutan untuk kes sebelum ini,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 1 Julai untuk sebutan kes.
Pada 29 Mei lalu, di Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Bharu, Ming Han mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan cubaan membunuh dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis.
Tular di media sosial, video berdurasi satu minit lapan saat dan satu lagi video sama berdurasi 44 saat menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar gerai penjaja serta orang awam di tapak niaga di Pekan Bukit Sentosa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!