Kekal patuhi SOP dalam fasa PKPP: AWAN Nasional
KOTA BHARU - Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menasihatkan masyarakat untuk terus mengutamakan keselamatan dan patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Pengerusi Biro Kesihatan AWAN Nasional, Dr Hafidzah Mustakim berkata, PKPP bukanlah lesen untuk masing-masing bebas daripada menjaga keselamatan diri terutamanya melibatkan golongan warga emas dan kanak-kanak.
"Alhamdulillah selepas ini kita boleh rentas negeri. Lebih banyak sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan dan perniagaan akan dibuka malah pergerakan masyarakat juga diberi kelonggaran.
"Namun jangan anggap kelonggaran tersebut sebagai cara untuk membebaskan diri sehingga kita lupa apa yang menjadi amalan kita sejak PKP dilaksanakan Mac lalu," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, sebagaimana diumumkan, fasa PKPP adalah penting bagi mengimbangi nyawa dan mata pencarian (lives and livelihoods) sebagai sebahagian daripada pemulihan (soft landing) dan seterusnya menyediakan negara bagi strategi pelepasan atau 'exit strategy'.
Beliau berkata, amat penting untuk seluruh rakyat Malaysia terus kekal menjaga diri masing-masing terutamanya mereka yang bakal menerima tetamu di kampung halaman.
"Kalaupun kita sihat dan tidak mengalami sebarang gejala, ingatlah kepada ahli keluarga kita yang berisiko seperti warga emas, anak-anak kecil dan juga mereka yang berpenyakit kronik.
"Terus lakukan penjarakkan sosial satu meter, jangan bersentuhan termasuk bersalaman dan salam berpelukan. Teruskan amalan salam hati dengan meletakkan tangan di dada.
"Didik diri untuk kerap mencuci tangan menggunakan hand sanitizer atau sabun dan pakai topeng muka jika berada di tempat orang ramai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!