PGA Semenyih patahkan sindiket rokok seludup

Rokok pelbagai jenis bernilai lebih RM52,000 dirampas menerusi pemeriksaan sebuah kenderaan yang mencurigakan di sekitar Jalan Kebun, semalam.
Rokok pelbagai jenis bernilai lebih RM52,000 dirampas menerusi pemeriksaan sebuah kenderaan yang mencurigakan di sekitar Jalan Kebun, semalam.
A
A
A

KLANG - Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih berjaya mematahkan sindiket pengedaran rokok seludup menerusi penahanan dua lekaki warga tempatan di Jalan Kebun, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, dua lelaki berusia 19 dan 27 tahun itu ditahan bersama sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 4 petang.

Zulafendy berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan terbabit telah membawa kepada penemuan 222 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM52,428.80.

"Turut dirampas sebuah kereta, tiga unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM18,830.

"Anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM135,758.80," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulafendy berkata, dua suspek berkenaan dibawa ke Balai Polis Klang bagi menjalani siasatan lanjut dan tindakan akan diambil mengikut Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, menerusi kejayaan ini, pihaknya percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Banting dan Klang.

"Saya menyeru masyarakat dapat memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!