Rapid KL beroperasi tanpa penjarakan sosial bermula esok
KUALA LUMPUR - Perkhidmatan rel Rapid KL akan beroperasi seperti biasa tanpa mengamalkan penjarakan sosial di dalam tren dan stesennya bermula esok susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Abdul Hadi Amran berkata, langkah itu sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pengangkutan bagi fasa PKPP yang membenarkan kapasiti seratus peratus kepada semua perkhidmatan rel kecuali Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity.
Menurutnya, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling, Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang dan monorel dikendalikan Rapid Rail akan menamatkan arahan penjarakan sosial di dalam tren.
"Tanda-tanda penjarakan sosial di dalam tren dan stesen sudah dikeluarkan namun prosedur keselamatan dan kesihatan sedia ada akan diteruskan.
"Rapid Rail berharap semua pengguna mendisiplinkan diri untuk mematuhi normal baharu semasa menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam bagi memastikan usaha gigih kita mencegah penularan koronavirus (Covid-19) terus berkesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hadi berkata, prosedur keselamatan dan kesihatan akan dilakukan termasuk pengambilan suhu pekerja dan penumpang akan diteruskan yang mana mereka yang mempunyai suhu 37.5 darjah celsius tidak dibenarkan menggunakan kemudahan itu.
"Selain itu, pemakaian topeng muka adalah diwajibkan semasa berada dalam pengangkutan awam selain sentiasa mengamalkan penggunaan cecair pensanitasi tangan.
"Penumpang turut digalakkan menggunakan kemudahan transaksi bukan tunai seperti pas bulanan atau kad Touch N Go selain muat turun aplikasi MySejahtera serta mengimbas QR kod," katanya.
Katanya, pihaknya yakin pengoperasian yang kembali normal selepas hampir tiga bulan berdepan arahan PKP mampu meningkatkan jumlah penumpang perkhidmatan awam.
"Penggunaan harian penumpang Rapid Rail seramai 200,000 orang sehari semasa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) mampu ditingkatkan kepada 750,000 orang sehari bagi fasa PKPP.
"Pada masa sama kerja membasmi kuman dan pembersihan stesen dan di dalam tren akan diteruskan secara gigih seperti yang dilaksanakan sebelum ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!