KUALA LUMPUR - Seorang pengurus syarikat didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan merakam gambar bogel rakan serumahnya ketika mandi dan memiliki gambar berunsur lucah di dalam telefon bimbit, tahun lepas. Ong Beng Soon, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohamed Fared Abdul Latif. Dia didakwa telah mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 23 tahun dengan cara merakam gambar bogel ketika mandi yang mengganggu kesantunan mangsa di sebuah rumah di Taman OUG di sini pada 1 petang 15 Jun 2019.Beng Soon didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Tertuduh juga didakwa memiliki gambar berunsur lucah di dalam telefon bimbit miliknya di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang diwakili peguam Cheow Wee merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan menanggung ibunya yang berusia 71 tahun dan kurang sihat. Mahkamah membenarkan Beng Soon diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 9 Julai untuk sebutan semula kes. - Bernama