Bangunan Mara dijadikan Malakat Mall

Bangunan Mara yang terbiar sejak empat tahun lalu akan dijadikan pasar raya Malakat Mall di Masjid Tanah.
Bangunan Mara yang terbiar sejak empat tahun lalu akan dijadikan pasar raya Malakat Mall di Masjid Tanah.
A
A
A

ALOR GAJAH - Bangunan dua tingkat milik Majlis Amanah Rakyat (Mara), di sini akan dibangunkan sebagai sebuah pasar raya dinamakan Malakat Mall yang dijangka memberi limpahan rezeki kepada penduduk Masjid Tanah termasuk menyediakan peluang pekerjaan selain menjadi mercu tanda baharu pekan tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, bangunan yang siap sepenuhnya sejak 2016 itu pernah dicadangkan untuk menjadi pasar raya menggunakan konsep jualan barangan dari Timur Tengah bagi menarik pelabur dari negara berkenaan namun kini, tumpuan diberikan kepada pelabur tempatan dengan operasi pasar raya biasa.

Beliau berkata, Malakat Mall merupakan usaha sama bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan beliau difahamkan, operasi pasar raya terpaksa ditangguhkan berikutan isu penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Saya difahamkan, Mara tidak rugi biarpun bangunan itu kosong selama ini kerana pihak yang mahu membuka pasar raya sebelum ini telah pun membuat bayaran sewa ke atas bangunan terbabit," katanya.

Sinar Harian beberapa tahun lalu pernah menyiarkan bangunan tersebut akan dibangunkan sebagai sebuah pasar raya dinamakan 'Qualiti Mart' bagi menarik minat pelabur dari Qatar dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada pengunjung April 2018.

Sulaiman ketika itu berkata, bangunan itu bukanlah gajah putih, namun pelbagai proses dan prosedur yang perlu dijalani termasuk mereka baru sahaja mendapat kelulusan Jabatan Imigresen.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, pihaknya juga mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berhubung isu bangunan Mara seperti yang dicadangkan pihak pembangkang negeri ini.

"Jika mereka mahukan SPRM siasat perkara ini, kita galakkan kerana saya pun ingin tahu apakah masalahnya dan apa kesalahan yang berlaku dengan pembinaan bangunan ini.

Artikel Berkaitan:

"Jadi dipersilakan, saya tunggu kerana ingin tahu apakah masalahnya yang berlaku terhadap pembinaan tersebut," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian hari ini mendapati bangunan yang telah pun diletakkan papan tanda M Mall dan mempunyai ruang tempat meletakkan kenderaan di tingkat bawah masih kosong, manakala keadaan sekeliling yang sedikit semak sekali gus mencacatkan pemandangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!