Pemilik warung roti canai pelangi nafi premis diserbu polis

Dimyati (kiri) dan anaknya, Fariz Aizan, 32, sentiasa menitikberatkan SOP setiap pelanggan yang singgah di warung berkenaan.
Dimyati (kiri) dan anaknya, Fariz Aizan, 32, sentiasa menitikberatkan SOP setiap pelanggan yang singgah di warung berkenaan.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Warung Dimyati Roti Canai Pelangi di Kampung Sungai Yu di sini menafikan status dan video tular di Facebook mengenai warung itu diserbu pihak berkuasa akibat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) digariskan kerajaan.

Pemiliknya, Dimyati Tualoh, 59, berkata, status dan video dimuat naik pada Ahad lalu itu palsu dan pengendali Facebook terbabit tidak mengetahui perkara sebenar.

Menurutnya, pihaknya amat menitikberatkan soal SOP sejak memulakan operasi perniagaan pada 30 Mei lalu selepas perniagaan terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.

"Warung kami tidak dikenakan kompaun, malah tiada seorang pun pelanggan kami disaman pihak berwajib.

"Saya berpandangan ini fitnah yang sengaja ditimbulkan pihak terbabit tanpa usul periksa," katanya kepada Sinar Harian.

Status dan video dimuat naik seorang pengendali Facebook berhubung warung itu diserbu pihak berwajib.
Status dan video dimuat naik seorang pengendali Facebook berhubung warung itu diserbu pihak berwajib.

Dimyati berkata, pihaknya menyediakan buku rekod pelanggan, imbasan Kod QR, cecair pembersih tangan dan memeriksa suhu badan, selain memastikan semua pekerja menjaga kebersihan diri serta memakai topeng muka.

"Malah, saya turut memasang pelekat 'X' dan mengehadkan hanya dua kerusi dan empat kerusi diletakkan di setiap meja makan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, gambar dimuat naik itu dirakam di luar premis terbabit dan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menegur pelanggan terbabit.

"Kami hanya menjalankan SOP ketika mereka berada dalam premis sahaja dan kebetulan pada waktu itu terdapat lebih enam kumpulan konvoi motosikal membabitkan kira-kira 160 pelanggan datang ke warung kami.

"Mereka yang tiba lewat terpaksa tunggu sementara kumpulan lain untuk makan dan kemudian beredar kerana premis hanya boleh membuatkan 60 pelanggan sahaja dalam sesuatu masa," katanya.

Sebelum ini tular di Facebook mengenai serbuan dilakukan polis di warung yang popular dengan roti canai lima perisa dan berwarna-warni berikutan dikunjungi kumpulan bermotosikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, setakat ini tiada laporan berhubung kegagalan warung itu mematuhi SOP.

"Tindakan polis ke warung itu adalah bagi membuat pemantauan dan pengusaha warung serta orang ramai mengikut SOP ditetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!