Terengganu benar solat lima waktu berjemaah di semua masjid
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu membenarkan umat Islam negeri ini menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di semua masjid dan surau bermula 12 Jun ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, kebenaran menunaikan solat Jumaat turut diperluaskan kepada semua masjid di negeri ini bermula tarikh sama.
Katanya, kebenaran tersebut mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.
“Baginda memahami hasrat rakyat jelata yang mengharapkan masjid dan surau dapat dibuka dan dimakmurkan sepenuhnya dengan aktiviti-aktiviti keagamaan, terutama solat Jumaat dan solat fardu lima waktu.
ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu benarkan solat Jumaat bermula 22 Mei
“Baginda juga sentiasa mengikuti perkembangan penularan wabak Covid-19 di Terengganu khususnya dan di Malaysia umumnya. Alhamdulillah wabak ini telah dapat dibendung dengan sebaiknya dan kini negara kita memasuki fasa pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Mengulas lanjut katanya, bilangan jemaah yang dibenarkan hadir bergantung kepada keluasan masjid dengan mengambil kira pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan penjarakkan satu meter antara ahli jemaah terdiri daripada anak mukim.
Menurut Osman, Pegawai Agama Daerah akan membuat pemantauan bagi memastikan semua masjid dan surau mematuhi SOP dan syarat-syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata, jawatankuasa masjid dan surau diberi tanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan pengurusan solat di masjid atau surau masing-masing berjalan lancar dengan pematuhan terhadap segala SOP ditetapkan termasuk dari segi kebersihan dan keselamatan sepanjang ibadat solat dijalankan.
“Jemaah yang hadir diwajibkan mematuhi segala SOP kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan seperti sentiasa mematuhi penjarakkan sosial, memakai pelitup muka dan tidak bersentuhan di antara satu sama lain termasuk bersalaman sepanjang berada di masjid.
“Bagaimanapun, individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit tekak tidak dibenar hadir termasuk yang menghidap penyakit kronik,” katanya.
Osman berkata, kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dan warganegara asing turut dilarang hadir menunaikan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di masjid serta surau negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!