Rancang guna LED di laluan gelap
KOTA BHARU – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merancang untuk menggunakan lampu diod pemancar cahaya (LED) di laluan gelap dan berisiko kemalangan.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ia melibatkan jalan persekutuan dan negeri di seluruh negara, namun tiada peruntukan kerajaan disediakan kerana mengguna pakai konsep ‘modul perniagaan tanpa kos’.
“Kita harap dapat laksanakan program ini kerana ia dapat mengatasi masalah jalan gelap, mengurangkan risiko kemalangan dan menjamin keselamatan penduduk.
“Kementerian juga dalam proses untuk menyerahkan pengendalian jalan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya, selepas mesyuarat bersama Exco Kerajaan Tempatan Kelantan Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin dan yang dipertua PBT di Kelantan di JKR 10, hari ini.
Terdahulu, Zuraida turut membuat kunjung hormat kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di pejabatnya.
Zuraida berkata, dalam mesyuarat yang berlangsung lebih sejam itu beberapa isu lain turut dibangkitkan antaranya perparitan, perumahan dan sistem pelupusan sisa pepejal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!