Biar TLDM ketuai pengawasan perairan negara: Exco Kedah

MOHD FIRDAUS
MOHD FIRDAUS
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mencadangkan agar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil alih peranan mengetuai pengawasan perairan negara dengan dibantu agensi sedia ada bagi mengelak insiden pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) terus berulang.

Exco Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, ini kerana TLDM memiliki aset keselamatan canggih dan memahami selok belok maritim bagi mengelak pihak luar membolosi negara.

“Sudah sampai masanya, serahkan hak penjagaan laut atau maritim kepada TLDM kerana kemampuan taktikal dan armada mereka diyakini untuk mengawasi perairan negara secara lebih berkesan.

"Saya harap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut diberikan peranan dalam isu ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 269 warga Rohingya ditahan, satu mayat ditemukan dalam bot

Mohd Firdaus yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata, pihaknya percaya dengan kesemua aset daripada empat agensi berkenaan dapat mengekang pencerobohan terutama bagi mengesan kehadiran etnik Rohingya memasuki Langkawi secara haram.

“TLDM memiliki pangkalan di Langkawi, kemampuan agensi itu melebihi kemampuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) malah kerjasama JKDM dapat pertingkatkan penguatkuasaan berdasarkan aset dan akta berkaitan yang lebih meluas selain dibantu pasukan Polis Marin.

"Gabungan empat agensi ini akan lebih berkesan termasuk bantuan radar canggih kapal perang kerana penguatkuasaan di perairan perlu diperketatkan lagi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kesal susulan pengawasan berteknologi radar yang mencukupi masih gagal mengesan kehadiran bot kayu membawa pelarian Rohingya.

Artikel Berkaitan:

“Kes ini terus berulang dan modus operandinya sama, alasan sama diberikan namun saya tak boleh lagi terima alasan sama, itu hanya alasan mahu melepaskan diri,” katanya.

Semalam, seramai 269 orang etnik Rohingya mendarat di Langkawi dan ditahan di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi untuk sementara waktu.

Menurut kenyataan National Task Force (NTF), Angkatan Tentera Malaysia, bot yang turut membawa satu mayat wanita pelarian itu didapati sengaja dibocorkan bagi mengelak mereka diusir.

Mohd Firdaus berkata, Malaysia perlu lebih tegas menangani isu ini seperti dilakukan Thailand dan Indonesia yang menolak kehadiran etnik itu.

“Sampai bila kita perlu terima kemasukan mereka, kumpulan pertama lalu masih ditahan di pusat tahanan di Langkawi, masuk pula yang baharu, menjadikan hampir 400 orang. Saya percaya kes ini akan berulang sedangkan kita mempunyai anggota perisik polis dan tentera,” katanya.

Menurutnya, sekali lagi pihaknya menyeru agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berkaitan isu berkenaan.

“Minta SPRM siasat apa yang tak kena, soal keselamatan jangan kompromi. Saya harap tiada campur tangan daripada mana-mana orang politik termasuk kementerian atau individu berprofil tinggi. Saya bukan perkecilkan pihak tertentu, ini sekadar teguran sebab sayangkan negara,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, pemutihan secara besar-besaran juga perlu dilakukan di penempatan Bukit Malut yang didakwa turut dihuni Rohingya selain dikatakan deposit tetap parti tertentu ketika pilihan raya.

“Jangan perjudikan kedaulatan negara, apa guna keris bersilang di bahu jika aspek keselamatan dibiarkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!