Buah pinggang Ebby Yus bocor, lemah jantung

Abby Yus - Foto: Instagram
Sumber :Astro Awani
Abby Yus - Foto: Instagram Sumber :Astro Awani
A
A
A

SENIMAN yang juga seorang pelawak, Ebby Yus, hilang sumber pendapatan sejak lebih setahun lalu selepas doktor mengesahkan dia mengalami masalah buah pinggang bocor dan jantungnya kembali lemah.

Menurut Ebby Yus atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 55, selepas dimaklumkan masalah kesihatan yang dialaminya itu, beliau tidak berupaya untuk bekerja kerana tidak memiliki kudrat.

"Setahun setengah juga saya tak bekerja. Bukan tak mau kerja, tapi saya tidak ada kemampuan," katanya berkongsi fasa sukar yang dilaluinya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Ebby juga pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 1998.

Seiring perubahan masa, doktor yang merawat memaklumkan, keadaan jantungnya hanya mempunyai lebih 20 peratus tahap kekuatan sedangkan untuk manusia normal bacaan kekuatan jantung yang diperlukan ialah 60 peratus.

"Itu yang doktor maklumkan pada saya berhubung keadaan jantung saya. Pada masa ini, saya hanya bergantung pada ubat, tapi Alhamdulillah saya sihat, tak adalah sakit teruk.

"Demikian juga dengan buah pinggang saya, ada alami kebocoran dan saya juga sedang menjalani rawatan," terang Ebby mengenai keadaan kesihatannya.

Kerana ujian kesakitan yang dihadapinya, Ebby harus akur bahawa pendapatannya terjejas kerana dia tidak mampu bekerja.

Artikel Berkaitan:

Wang simpanan sudah habis digunakan untuk membiayai rawatan selain menjalani kehidupan yang sangat sederhana.

"InsyaAllah berkat rawatan yang saya jalani, doa keluarga dan kawan-kawan saya sudah mampu untuk kembali bekerja. Saya sentiasa percaya rezeki Allah yang tentukan.

"Alhamdulillah tawaran berlakon juga sudah diterima dan saya akan kembali aktif secara perlahan-lahan," ujarnya.

Sementara itu, pelawak, Ajak Shiro yang ditemui Sinar Harian selepas program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) ada memberitahu untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada seniornya itu.

Jelas Ajak, dia sudah berbincang dengan pelawak lain seperti Bocey, Zero dan Taman untuk mengumpulkan dana, hasil wang kemenangan mereka dan diberikan kepada Ebby.

"Insya Allah kami akan bertemu dengan Ebby Yus sedikit masa lagi. Walaupun komuniti pelawak kecil, tapi bila dikumpul dana, harap sedikit sebanyak dapat membantu abang Ebby nanti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!