Keputusan batal saingan Liga M3 tepat
KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Amatur (AFL) membatalkan saingan Liga M3 musim ini susulan penularan pandemik Covid-19 disifatkan sebagai langkah tepat memandangkan beberapa pasukan amatur berdepan kekangan kewangan ketika ini.
Keadaan itu diakui Pengurus Kelab Klasiko FC, Khairil Anuar yang bimbang sekiranya saingan liga amatur itu diteruskan, beberapa pasukan bakal menarik diri kerana bergelut dengan peruntukan pasukan selain pihak penaja sendiri berdepan masalah sama susulan penularan pandemik berkenaan.
“Boleh dikatakan agak lega apabila AFL mengumumkan pembatalan Liga M3 kerana pihak penaja Klasiko FC juga terjejas dengan wabak Covid-19 kerana mereka rata-rata ada perniagaan sendiri, jadi sudah pasti kewangan juga akan terjejas.
Oleh itu, saya merasakan pembatalan liga ini paling sesuai untuk pasukan seperti kami dan selepas ini kami akan mempunyai banyak masa untuk membuat perancangan dan mencari penaja tambahan bagi musim depan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.
Mengenai kontrak dan gaji pemain susulan pembatalan Liga M3, Khairil menjelaskan barisan pemain Klasiko FC tidak dibayar gaji bulanan, sebaliknya diberi elaun perlawanan sahaja kerana kebanyakan pemain bekerja tetap, sekali gus mengurangkan beban kewangan dialami pasukan berkenaan dalam menghadapi Liga M3 musim depan.
“Untuk musim depan, kita tengok dulu sejauh mana kewangan kita ada, kerana saya sebenarnya lebih selesa menggunakan peruntukan yang minimum untuk pasukan agar kita dapat bertahan bagi jangka panjang, dan pemain juga sangat memahami berkenaan kewangan pasukan ketika ini,” kata Khairil.
Sementara bagi, Jurulatih Kuala Terengganu Rovers (KT Rovers), Mohd Azhari Salim turut bersetuju dengan pembatalan saingan itu, terutamanya bagi mematuhi garis panduan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan Covid-19.
"Saya memang bersetuju dengan langkah ini memandangkan wabak Covid-19 masih belum berakhir dan bola sepak berada dalam sukan dikategorikan ada kontak rapat semasa bermain.
"Malah jika kita bermula pada September nanti pun, tidak banyak perlawanan diadakan memandangkan aksi hanya seminggu sekali yang dijangka berakhir pada Disember,” katanya.
Beliau memaklumkan pihak pengurusan akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain import mereka susulan pembatalan saingan Liga M3.
"Mengenai isu kontrak, kami tidak ada masalah besar bagi pemain tempatan kerana semuanya dibayar mengikut elaun cuma untuk pemain import, kami akan adakan perbincangan secara mendalam dengan mereka tentang pembayaran baki kontrak," katanya.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dalam kenyataan semalam, memaklumkan AFL mengambil keputusan membatalkan saingan Liga M3 pada musim ini susulan penularan pandemik Covid-19.
Pembatalan berkenaan dikatakan kerana AFL bimbang pasukan terlibat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM dan MKN berhubung aktiviti sukan di padang terbuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!