Enam pekerja melecur stor bahan kimia terbakar
KULAI - Enam pekerja melecur di tangan selepas stor bahan kimia di Batu 24 Jalan Ayer Hitam di sini terbakar petang tadi.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Tinggi Bakhtiar Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.59 petang.
Beliau berkata, sembilan anggota bomba dan sebuah jentera FRT dari BBP Kulai bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
"Siasatan mendapati pekerja terbabit cuba mengangkat bahan kimia menggunakan forklif (jentera angkat susun) untuk dimasukkan ke dalam tangki simpanan berkapasiti 1000 liter, namun tiba-tiba terdapat percikan api menyebabkan berlakunya kebakaran.
"Terdapat enam pekerja ketika itu cuba untuk memadam kebakaran tersebut menyebabkan mereka melecur di bahagian tangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bahan kimia terbabit terdiri daripada Toluene, Acetone, IsopropylAlcohol disimpan dalam stor jenis separuh kekal.
"Kesan kebakaran telah memusnahkan 40 peratus daripada keseluruhan stor terbabit.
"Kebakaran turut melibatkan sebuah jentera forklift," katanya.
Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada jam 4.10 petang.
"Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!