Melaka benarkan aktiviti pelancongan, pasar malam beroperasi
MELAKA TENGAH - Melaka membenarkan beberapa lagi sektor ekonomi beroperasi secara berperingkat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, antara sektor dibenarkan ialah pelancongan domestik meliputi penginapan di hotel, lawatan ke muzium, zoo dan pusat-pusat pelancongan.
"Selain itu perkhidmatan gunting rambut, pendandan rambut dan kecantikan serta salun dibenarkan beroperasi selaras dengan pengumuman kerajaan Persekutuan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan secara berterusan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Mesyuarat Jawatankuasa Khas Koronavirus (Covid-19) Negeri yang diadakan pada hari ini memperhalusi beberapa pengumuman berhubung sektor-sektor ekonomi yang diberikan kelonggaran untuk beroperasi seperti mana pengumuman oleh Perdana Menteri dan Menteri Kanan Keselamatan.
"Walau bagaimanapun, kesemua operasi hendaklah mengikut SOP yang dikeluarkan oleh MKN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasar terbuka termasuk pasar pagi, pasar malam dan bazar ria turut dibenarkan beroperasi berkuatkuasa 15 Jun ini selari dengan keputusan dibuat kerajaan Pusat.
Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada SOP yang akan diselaraskan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Seri Ghafaar Atan pada Khamis ini.
"SOP yang lebih ketat akan dikemukakan bagi mengelak kluster baharu di samping memastikan negeri ini terhindar daripada diisytiharkan sebagai kawasan atau zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Banyak aspek perlu diteliti dan diperhalusi bagi memastikan keselamatan peniaga dan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!