Semenanjung Korea kembali bergolak
SEOUL - Semenanjung Korea kembali bergolak selepas Pyongyang hari ini memutuskan hubungan dengan Seoul yang kini digelar sebagai ‘musuh’.
Pengumuman itu dibuat selepas kumpulan aktivis bertindak mengedarkan risalah anti-Korea Utara di sempadan.
Korean Central News Agency (KCNA) melaporkan Pyongyang akan memutuskan kesemua komunikasi dengan Seoul yang sebelum ini dikekalkan melalui pejabat perhubungan bersama.
“Hubungan yang diputuskan itu termasuk ‘jalur komunikasi Laut Timur dan Barat’ antara tentera kedua-dua belah pihak serta talian percubaan komunikasi dan hotline antara Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja di Korea Utara dan kediaman presiden, Rumah Biru di Korea Selatan.
“Pihak berkuasa di Seoul bersekongkol dengan tindakan permusuhan ke atas Pyongyang dan memberikan pelbagai alasan untuk menutup perbuatan itu.
“Mereka perlu berdepan akibat tindakan tersebut,” lapor KCNA.
Minggu lalu, Pyongyang mengancam untuk menutup pejabat perhubungan bersama dengan Seoul selain mengugut untuk mengambil langkah lanjut untuk membuat negara itu ‘menderita’ selepas tiga sidang kemuncak untuk mencapai perdamaian di Semenanjung Korea berlangsung pada 2018.
Kim Yo Jong yang merupakan adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un juga membuat ancaman untuk membatalkan perjanjian ketenteraan yang dimeterai kedua-dua belah pihak melainkan Seoul mengambil langkah tegas menghalang aktivis daripada terus mengedarkan risalah anti-Pyonyang yang didakwa sebagai provokasi melampau.
Sebelum ini, penduduk Korea Utara juga mengadakan siri perhimpunan mega anti-Seoul selepas Pyongyang mula menghentikan kesemua kerjasama dengan negara itu sejak sidang kemuncak antara Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhenti pada 2019.
Sementara itu, Korea Selatan tidak memberikan sebarang ulasan terhadap keputusan mengejut dibuat Pyongyang, namun ia mengumumkan telah mengambil langkah memperkenalkan undang-undang baharu untuk melarang aktivis mengedarkan risalah anti-Korea Utara. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!