Bila KAFA nak hubungi kami?

Mohd Badhri
Mohd Badhri
A
A
A

BEKAS pemain The Red Warriors (TRW) terkilan apabila mendakwa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak menghubungi mereka bagi memaklumkan mengenai perbincangan yang bakal diadakan berhubung isu tunggakan pembayaran gaji.

Bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi, 38 berkata, dia hanya mengetahui mengenai perbincangan itu menerusi media cetak dan bukannya melalui KAFA.

Bagaimanapun menurut Mohd Badhri, pihaknya hanya akan menghadiri perbincangan itu setelah menerima makluman KAFA.

“Saya dan juga rakan lain memang tidak dimaklumkan mengenai perbincangan yang akan diadakan ini. Saya tahu pun hanya melalui akhbar.

“Menurut laporan akhbar, perbincangan itu adalah untuk penjadualan semula pembayaran tunggakan gaji. Ya, kita terima tetapi dengan syarat pembayaran dibuat dengan betul mengikut jadual.

Laporan Sinar Harian 2 Jun lalu.
Laporan Sinar Harian 2 Jun lalu.

“Mungkin jumlahnya akan berkurangan tetapi perlu mengikut jadual sehinggalah kesemua jumlah pembayaran tunggakan gaji berkenaan selesai dibuat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

KAFA sebelum ini dilaporkan mahu mengadakan perbincangan dengan semua pemain dan bekas pemain skuad TRW itu berhubung isu tunggakan pembayaran gaji.

Artikel Berkaitan:

Perbincangan itu bagi melaksanakan penjadualan semula pembayaran tunggakan gaji pemain berikutan kantung badan induk bola sepak Kelantan itu berada dalam keadaan yang sangat kritikal ketika ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini meminta KAFA memastikan tiada masalah dalam pembayaran tunggakan gaji berkenaan sebagaimana dipersetujui antara pemain atau pegawai pasukan sebelum 30 Jun kerana tindakan pemotongan mata akan dibuat sekiranya timbul masalah atau pembayaran gagal dibuat.

Sementara itu, bekas pemain dan juga bekas penolong jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha mengakui dia juga terkilan kerana tidak dihubungi KAFA berhubung perbincangan berkenaan.

Hashim
Hashim

Hashim, 54, yang kali terakhir menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 21 Tahun TRW musim 2016-2017, mengharapkan KAFA dapat menyelesaikan isu tunggakan gaji berkenaan hasil perbincangan berkenaan.

“Kita berharap kali ini masalah tunggakan gaji ini akan dapat diselesaikan dengan kesemua pemain akan menerima gaji masing-masing.

“Kita juga berharap agar pembayaran ini akan dilaksanakan dengan betul mengikut menerusi kaedah penjadualan pembayaran yang akan dibuat nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!