Bila telur ayam pun boleh jadi ‘racun’

A
A
A

KETIKA umat Islam masih bergembira meraikan Aidilfitri, negara tiba-tiba digemparkan dengan berita kematian seorang wanita angkara keracunan puding buih pada 11 Syawal lalu.

Seramai 74 orang lagi turut dirawat di hospital kerana puding berkenaan.

Wanita berusia 25 tahun dari Marang, Terengganu itu disahkan meninggal dunia disebabkan kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis selepas memakan puding buih yang dibeli secara dalam talian.

No Image Caption

Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, hasil ujian makmal mendapati penggunaan telur bertarikh luput lebih dua minggu menjadi punca utama kes keracunan makanan itu.

Insiden yang berlaku menimbulkan persoalan adakah telur yang menjadi pilihan lazim isi rumah di negara ini boleh menjadi ancaman kepada kesihatan.

Apatah lagi berdasarkan statistik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, dianggarkan rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengambil sebanyak 2.8 juta telur ayam sehari.

Pensyarah Mikrobiologi Perubatan Program Sains Bioperubatan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Noraziah Mohamad Zin berkata, telur mempunyai kandungan protein yang tinggi dan sesuai menjadi tempat pertumbuhan banyak jenis bakteria penyebab penyakit kepada manusia seperti salmonella, staphylococcus aureus, slostridium perfringes dan pseudomonas.

Artikel Berkaitan:

Dr Noraziah
Dr Noraziah

“Apabila telur tamat tempoh, bermakna jangka masa telur berada di persekitaran telah melebihi jangka masa tertentu dan tidak selamat untuk dimakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Noraziah, sekiranya telur tersebut tidak bersih (kontaminasi dengan najis ayam misalnya), terdapat rekahan pada kulitnya, ia akan menyebabkan kemasukan bakteria ke dalam telur dan membiak dengan cepat dan menyebabkan jangkitan kepada manusia.

“Seringkali juga terdapat telur yang pecah di dalam rak yang sama. Kontaminasi secara silang boleh berlaku kepada telur lain.

“Salmonella selalu dijumpai di bahagian luar kulit telur kerana bakteria ini biasa didapati pada saluran intestinal ayam. Terdapat 2,500 spesies salmonella yang dibawa oleh haiwan ternakan seperti ayam dan haiwan-haiwan liar.

“Telur tamat tempoh yang tercemar dengan salmonella boleh mengakibatkan gejala penyakit seperti loya, muntah, kekejangan perut, cirit-birit, menggigil dan sakit kepala.

“Dalam kebanyakan kes, penyakit ini boleh berlangsung antara empat hingga tujuh hari selepas memakan makanan yang tercemar dengan salmonella manakala simptom boleh dilihat selepas enam jam hingga enam hari.

“Individu yang mempunyai sistem imuniti yang rendah seperti orang tua dan kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan yang lebih serius,” kata Noraziah yang berpengalaman selama 25 tahun membuat kajian tentang salmonella dan lain-lain bakteria penyebab penyakit.

Ujian kesegaran telur

Ujian mudah untuk melihat tahap kesegaran telur.
Ujian mudah untuk melihat tahap kesegaran telur.

Ditanya bagaimana mahu mengetahui sama ada telur itu selamat atau tidak untuk dimakan, Noraziah menjawab ia boleh diuji dengan meletakkan telur ke dalam sebekas atau segelas air.

“Sekiranya telur itu timbul bermakna telur itu tidak baik dan perlu dibuang, sekiranya tenggelam dalam satu hujungnya, bermakna telur itu agak tidak elok tapi boleh dimakan.

“Hanya telur yang tenggelam dalam keadaan keseluruhan bahagiannya (melentang) dikira masih baik dan boleh digunakan. Perhatikan tarikh luput dan hanya menggunakan telur sebelum tarikh luput,” katanya lagi.

Noraziah menegaskan, telur yang retak, berlendir kulitnya dan berbau busuk perlu dibuang serta-merta.

Dalam pada itu, wajarkah kita berasa bimbang memandangkan kes keracunan yang meragut nyawa itu melibatkan penjualan makanan menerusi secara dalam talian yang sudah menjadi satu trend terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Mohd. Salim Dulatti berkata, pihaknya telah mengeluarkan garis panduan khusus untuk pengendali dan pengusaha makanan ketika PKP dan PKPB.

Mohd. Salim
Mohd. Salim

Pengendali makanan termasuklah mana-mana orang yang terlibat secara langsung dalam penyediaan makanan, menyentuh makanan atau permukaan yang menyentuh makanan dan mengendalikan makanan yang dibungkus atau tidak dibungkus.

Pengusaha makanan pula melibatkan pemilik perniagaan makanan seperti kedai makan, restoran, katerer dan pengusaha makanan di rumah.

“Pihak kami telah mengeluarkan garis panduan keselamatan makanan bagi produk makanan yang dijual secara dalam talian sepanjang PKP dan PKPB.

“Antara lain, pengusaha makanan di rumah perlu sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan mematuhi arahan keselamatan makanan yang telah ditetapkan KKM selain tidak memasarkan produk yang telah luput tarikh,” kata Mohd. Salim kepada Sinar Harian.

Info kes keracunan makanan

3 Jun 2020

Wanita berusia 25 tahun dari Marang yang merupakan mangsa keracunan puding buih meninggal dunia.

5 Januari 2020

Keracunan makanan melibatkan guru-guru Tadika PASTI seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menghadiri kursus di sebuah pusat latihan di Cheras, Kuala Lumpur.

14 Februari 2019

49 pelajar Sekolah Kebangsaan (2) Taman Keramat, Kuala Lumpur mengalami gejala muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas bersarapan di kantin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!