Pelantikan PM bukan dibuat sewenang-wenangnya
SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri secara sewenang-wenangnya, sebaliknya mengikut Perlembagaan, kata Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling.
Menurutnya, ia dibuat berdasarkan dua syarat iaitu Perdana Menteri itu mestilah ahli Dewan Rakyat dan kedua, mendapat keyakinan majoriti anggota Dewan Rakyat.
Jelasnya, Perlembagaan bagaimanapun tidak menetapkan kaedah Perdana Menteri perlu mendapat majoriti tersebut.
"Maka kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sekarang, memanggil semua anggota Dewan Rakyat dan bertanyakan seorang demi seorang serta merakam pilihan mereka.
"Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda mendapati Tan Sri Muhyiddin mendapat sokongan terbanyak, tidak ada orang lain," katanya selaku panelis Wacana Sinar Siri 172 bertajuk Kerajaan Beta: Agong & Perlembagaan Persekutuan anjuran bersama Kursi Institusi Raja-raja Melayu UiTM di Dewan Karangkraf Seksyen 15 di sini malam tadi.
Wacana sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI itu turut membariskan panelis, Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Profesor Datuk Teo Kok Seong dan Ahli Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah, manakala personaliti TV, Amin Idris bertindak sebagai moderator.
Zainal yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara berkata, setiap anggota Dewan Rakyat itu ialah pemimpin yang dipilih rakyat dan mempunyai potensi menjadi Perdana Menteri berdasarkan dua syarat berkenaan.
Justeru ujarnya, tidak timbul soal kerajaan pintu belakang atau tebuk atap.
"Kalau kita nak memelihara negara dalam jangka pendek dan jangka panjang, jangan ubah Perlembagaan.
"Malaysia merupakan sebuah Persekutuan yang terbentuk daripada gabungan negeri-negeri beraja melalui penggubalan Perlembagaan yang memberi kuasa eksekutif pentadbiran kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.
"Ketika Perlembagaan ingin digubal, raja-raja Melayu yang memerintah negeri-negeri Melayu telah meletakkan empat syarat bagi membentuk Persekutuan Tanah Melayu," katanya.
Syarat tersebut adalah mengekalkan kuasa raja-raja Melayu, kerakyatan adalah menyeluruh bukan sekadar negeri masing-masing, menggabungkan semua negeri Melayu dan dua negeri selat (Melaka dan Pulau Pinang) dengan memberi Persekutuan itu kuasa lebih besar manakala keempat, mengadakan perhubungan yang tertentu di antara Persekutuan dan negeri.
Menurut Zainal, di bawah empat syarat tersebut, terdapat perkara yang melibatkan hak keistimewaan orang Melayu namun mereka yang datang ke negara ini untuk menjadi warganegara akan diberikan kesamaratan sebagai rakyat dengan mengekalkan hak keistimewaan Melayu itu.
Sehubungan itu katanya, warganegara Malaysia tidak sepatutnya mempersoalkan perkara tersebut kerana ia merupakan syarat penubuhan negara.
"Perkara 39 Perlembagaan memperuntukkan kuasa eksekutif seluruh pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu terletak pada Yang di-Pertuan Agong yang diturunkan kepada satu badan yang dinamakan Kabinet (jemaah menteri).
"Ada kaedah melantik Perdana Menteri mengikut Perkara 40 yang mengatakan Agong mesti menerima nasihat Perdana Menteri dari Kabinet atau pun menteri-menteri tetapi Perdana Menteri itu sendiri dilantik oleh Agong mengikut Perkara 38, 39 dan 40 kerana Perdana Menteri yang mendapat majoriti terbanyak dalam pilihan raya, tidak boleh melantik dirinya sendiri," katanya.
Tambah beliau, sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah diakui oleh Seri Paduka Baginda sebagai 'Kerajaan Beta', maka PN boleh kekal sehingga habis tempoh sebelum kembali kepada demokrasi melalui Pilihan Raya Umum (PRU).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!