Sampah haram: MBI pertimbang tindakan mahkamah
IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak akan teragak-agak untuk mengheret mana-mana individu yang masih berdegil membuang sampah secara haram di bandar raya ini ke mahkamah.
Ia berikutan segelintir pihak seolah-olah memandang ringan terhadap penjagaan persekitaran dan tindakan membuang sampah secara haram juga dilihat menjadi kebiasaan bagi segelintir masyarakat di bandar raya Ipoh terutama di kawasan perumahan, tanah lapang dan di pinggir jalan raya.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, keadaan itu boleh dilihat dari segi peningkatan jumlah kompaun tahun lalu iaitu sebanyak RM1.03 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu RM663,220, manakala tahun ini sehingga 29 Februari lalu, sebanyak 219 kompaun telah dikeluarkan melibatkan jumlah sebanyak RM181,050.
"Sejak 1 Januari 2020 hingga 31 Mei lalu, sebanyak 1,672 lokasi sampah haram dengan jumlah sampah sebanyak 12,210 tan dikesan di sekitar bandar raya Ipoh.
"Kalau boleh sebenarnya kita tidak mahu sampai ke mahkamah untuk ambil tindakan namun perkara itu kita akan pertimbangkan jika masih ada individu yang berdegil. Kita telah wujudkan Unit Anti Litter bagi mengatasi masalah ini.
"Unit Anti Litter menjalankan kerja-kerja intipan dan tangkapan mereka yang membuang sampah haram dan mengenakan tawaran kompaun RM1,000 sekiranya didapati terdapat individu yang membuang sampah secara haram," katanya kepada pemberita selepas menyertai Operasi Sampah Haram MBI di Taman Rasi, Menglembu di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, tindakan tidak bertanggungjawab individu membuang sampah secara haram boleh menyebabkan kawasan tersebut berbau busuk, mencacatkan pemandangan dan lebih serius apabila ia turut menjadi faktor berlakunya peningkatan kes demam denggi di bandar raya Ipoh.
Jelasnya, keadaan itu juga turut membazirkan wang rakyat yang sepatutnya boleh diperuntukkan kepada program-program pembangunan lain namun terpaksa dihabiskan untuk membiayai kerja-kerja pembersihan.
Sehubungan itu, Rumaizi meminta masyarakat setempat bekerjasama dengan MBI dalam satu pasukan bagi membanteras masalah tersebut agar dapat mewujudkan bandar raya yang cantik, bersih dan selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!