Pulau Pinang benar solat Jumaat seramai 40 orang
GEORGETOWN - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk menambah bilangan jemaah untuk solat Jumaat di masjid kepada 40 orang bermula 12 Jun depan.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bagi solat yang lain hanya dibenarkan seramai 15 orang jemaah yang terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid.
Menurutnya, bilangan jemaah untuk solat di masjid akan ditambah lagi secara beransur-ansur pada masa akan datang.
"Semua pengurusan masjid perlu mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti mencatatkan maklumat jemaah yang hadir, periksa suhu badan dan lakukan penjarakan sosial ketika bersolat.
"Mereka juga disarankan mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah sendiri dan segera meninggalkan masjid setelah selesai solat,"katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr Wan Salim berkata, pihaknya mendapat maklumat ada masjid di negeri ini yang masih tidak bersedia untuk menambah jumlah jemaah lebih ramai kerana bimbang tidak dapat mengawal keadaan.
Katanya, pematuhan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan perlu dititik beratkan oleh semua jemaah agar dapat menghindar daripada berlakunya risiko penyebaran virus koronavirus (Covid-19).
"Kita tahu ramai yang ingin kembali bersolat di masjid dan kalau keadaan semakin pulih jumlah jemaah akan ditambah lagi dari masa ke masa.
"Kita berharap pengurusan masjid dapat memastikan perlaksanaan solat jemaah dapat berjalan dengan lancar contohnya boleh dibuat giliran atau sebagainya," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan semua masjid dan surau Jumaat di Pulau Pinang membenarkan untuk mengadakan solat Jumaat bermula 22 Mei lalu.
Bagaimanapun, pelaksanaan solat Jumaat itu adalah terhad kepada 12 hingga 15 orang jemaah sahaja yang terdiri daripada pegawai masjid dan surau, ahli jawatankuasa kariah serta siak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!