Johor benarkan solat Jumaat, solat fardu lima waktu bersyarat

Tosrin sambil diperhatikan Nooh Gadot (kanan) menunjukkan kenyataan akhbar berkenaan kebenaran solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di seluruh Johor pada sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru hari ini.
Tosrin sambil diperhatikan Nooh Gadot (kanan) menunjukkan kenyataan akhbar berkenaan kebenaran solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di seluruh Johor pada sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan untuk membenarkan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu secara berjemaah dilaksanakan di semua masjid serta surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, kebenaran tersebut melibatkan semua 892 buah masjid dan 1,958 surau di seluruh negeri ini bermula Jumaat ini.

"Bilangan jemaah solat Jumaat yang dibenarkan di masjid dan surau hanya terhad kepada 40 orang tidak termasuk pegawai masjid dan surau. Kewajiban solat Jumaat gugur ke atas mereka yang tidak terpilih untuk hadir solat Jumaat pada hari berkenaan dan diganti dengan solat Zohor di rumah.

"Mereka yang dipilih untuk menunaikan solat Jumaat akan dimaklumkan oleh jawatankuasa masjid. Bagi yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat pada minggu pertama akan dipilih pada minggu kedua atau minggu seterusnya," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ), Datuk Md Rofiki A Shamsudin.

Tosrin berkata, sebelum dimaklumkan mana-mana jemaah boleh menunaikan solat Jumaat, mereka perlu mengisi borang di masjid atau surau tempat masing-masing sebelum pemilihan dilakukan ahli jawatankuasanya.

Katanya, solat Jumaat akan dipantau pihak polis serta Kementerian Kesihatan dan sekiranya melebihi 40 orang, mereka yang tidak terpilih akan diarahkan pulang untuk solat Zohor di rumah.

"Keutamaan solat Jumaat ketika PKPP adalah jemaah yang merupakan warganegara dan lelaki dewasa serta mereka yang sudah akil baligh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, solat fardu lima waktu secara berjemaah juga terhad kepada 40 orang tidak termasuk pegawai masjid dan surau.

Beliau berkata, garis panduan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu secara berjemaah akan diberikan kepada semua masjid dan surau serta pihak jawatankuasanya perlu mematuhi standard prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan.

"Jemaah yang terpilih untuk menunaikan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu secara berjemaah antaranya perlu membawa sejadah sendiri termasuk mengambil wuduk di rumah dan memakai topeng muka," katanya.

Selain itu katanya, sepanjang tempoh PKPP semua aktiviti selain solat Jumaat dan solat fardu lima waktu masih tidak dibenarkan termasuk kuliah, ceramah dan seumpamanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!