GST mampu hentikan ketirisan akibat ekonomi gelap
KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran menguatkuasakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan sebelum ini untuk mendapatkan kembali hasil cukai yang lesap akibat aktiviti ekonomi gelap, selain mengurangkan kebergantungan terhadap cukai langsung.
Pengarah Urusan Reanda LLKG International Chartered Accountants, Koong Lin Loong berkata, ekonomi gelap telah menyebabkan kehilangan berbilion ringgit dan sekiranya aktiviti tersebut dapat dikekang, sudah tentu akan menyumbang kepada hasil negara yang terkesan akibat koronavirus (Covid-19).
Beliau berkata, dari sudut analisis kuantitatif, GST yang berkuat kuasa pada 1 April 2015 sebelum diambil alih Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September 2018 telah berjaya meraih hasil cukai sebanyak RM41 bilion pada 2016 dan RM44 bilion pada 2017.
Sebaliknya kata Lin Loong, hanya RM27.5 bilion sahaja yang berjaya dikutip melalui SST pada tahun 2019 yang melangkaui sasaran kutipan sebanyak RM22 bilion bagi tahun tersebut.
“Penyelesaian terbaik adalah dengan menumpukan kepada sumber-sumber cukai tidak langsung dengan mengembalikan GST yang akan meluaskan asas percukaian (pada kedua-dua tahap input dan output) sementara memastikan kaedah pungutan yang lebih cekap,’’ katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Lin Loong yang juga Pengerusi Jawatankuasa SME, Persatuan Dewan Perdagangan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) berkata, dalam iklim ekonomi semasa yang merudum, tiada salahnya menguatkuasakan semula GST pada kadar tiga peratus bermula 2021 sebelum menaikkannya kepada empat peratus pada tahun seterusnya dan mungkin enam peratus menjelang 2025.
"GST boleh membantu meningkatkan hasil percukaian langsung. Di peringkat cukai korporat, banyak perniagaan berkemungkinan melaporkan kerugian, malah mungkin banyak yang gulung tikar kerana kesempitan aliran tunai akibat larangan bergerak bagi membendung virus Covid-19," katanya.
Beliau berkata, pungutan cukai perseorangan pula mungkin terjejas akibat wabak tersebut kerana ramai pencari nafkah sudah kehilangan kerja atau berdepan pemotongan gaji antara 20 hingga 50 peratus oleh majikan mereka.
"Di samping GST, satu kaedah lain untuk menutup ketirisan cukai akibat aktiviti ekonomi gelap ialah dengan melaksanakan penyiasatan cukai atau audit cukai yang `tidak popular’ untuk membanteras kes mengelak atau lari cukai," tambah Lin Loong.
Pada Januari lalu, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan ekonomi gelap negara berjumlah 21 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dianggarkan berjumlah RM300 bilion.
Ekonomi gelap juga dikenali sebagai ekonomi bawah tanah atau pasaran gelap, sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah yang merangkumi hasil haram daripada rasuah, penyeludupan senjata api, rokok, dadah, pelacuran/pornografi, perjudian haram/dalam talian, pemalsuan pasport dan pemerdagangan manusia.
Selain itu, ekonomi gelap juga meliputi sektor rasmi tidak berdaftar seperti perniagaan tidak berlesen, pekerja bebas (freelancer), pekerja sambilan dan ekonomi gig/tunai yang sulit dijejak dan dikesan.
Ini termasuk mereka yang bekerja tetap tetapi pada masa yang sama, mempunyai kerja sambilan yang menjana pendapatan lebih tinggi daripada kerja tetap mereka.
Ketua Percukaian, SST dan Kastam di firma Rosli Dahlan Saravana Partnership, S Saravana Kumar menyarankan agar kerajaan meningkatkan usaha mendapatkan kembali kehilangan hasil cukai daripada aktiviti-aktiviti haram termasuk terus mengukuhkan sumber-sumber sedia ada untuk mempercepatkan proses pemulihan.
“Kerajaan hendaklah bersedia mengambil langkah tegas termasuk berfikir di luar kotak untuk menghentikan ketirisan hasil cukai. Di Australia, pihak berkuasa percukaian menggunakan khidmat peguam percukaian terkemuka bagi mewakili kerajaan untuk mendapatkan semula hasil cukai,” katanya.
Bagi menghentikan penyeludupan berleluasa `produk dosa’ seperti alkohol dan rokok, Saravana menyarankan agar kerajaan mengkaji semula kadar eksais duti sedia ada dengan melaksanakan kadar yang bersamaan dengan negara-negara jiran.
“Dengan melakukan demikian, tidak wujud dorongan untuk penyeludup membawa masuk produk seumpamanya untuk dijual di negara ini. Kadar duti tinggi yang melampau, disulitkan lagi dengan penguatkuasaan yang lemah serta amalan rasuah dalam kalangan pihak penguatkuasaan menggalakkan penyeludup untuk mengedar produk ini pada harga rendah,” katanya.
Beliau berkata, jika rantaian pembekalan menerusi penyeludupan tidak ditangani sewajarnya, maka pengedar, peruncit dan konsumer produk seludup hendaklah dibawa ke muka pengadilan menerusi penambahbaikan undang-undang sivil dan jenayah.
Walaupun GST adalah telus dan cukai yang lebih adil untuk membanteras gejala ekonomi gelap, namun beliau masih berpendapat bahawa sekarang ini bukan masa yang sesuai untuk melaksanakannya meskipun pada kadar lebih rendah.
“Cukai seharusnya diperkenalkan bila ekonomi berjalan baik, misalnya cukai hasil ke atas peladang kelapa sawit yang hanya dikenakan apabila harga minyak sawit mentah melepasi paras khusus.
“Namun inisiatif kerajaan seperti pengecualian cukai perkhidmatan bagi hotel, pelepasan cukai bagi pengurangan sewa, penangguhan pembayaran cukai ialah langkah yang betul bagi membina semula ekonomi negara,” kata Saravana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!