Aktiviti di eko rimba dibenarkan bermula 15 Jun

Gambar kecil: Mohd Yussainy Md Yusop
Gambar kecil: Mohd Yussainy Md Yusop
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Beberapa aktiviti berkaitan eko rimba dan hutan taman negeri termasuk mendaki gunung tanpa bermalam, akan dibenarkan bermula 15 Jun ini.

Pengarah Forest Eco Park dan Hutan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, tarikh itu dicadangkan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang dengan garis panduan pembukaan taman eko-rimba dan Hutan Taman Negeri.

Bagaimanapun katanya, prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan adalah panduan sahaja dan tertakluk kepada penerimaan Jabatan Perhutanan Negeri.

"Susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membenarkan aktiviti riadah dan pembukaan taman eko rimba serta perhutanan negeri, ibu pejabat telah mengeluarkan satu garis panduan SOP bagi rujukan pihak negeri.

"Tarikh yang dibuka untuk aktiviti pendakian ialah 15 Jun namun ia hanya dibenarkan secara harian dan tidak boleh bermalam sehingga diumumkan kelak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Yussainy berkata, pihaknya menerima banyak panggilan telefon daripada orang awam dan pemandu pelancong negeri yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung aktiviti pendakian.

"Meskipun taman eko dan perhutanan telah dibuka, orang ramai dinasihati patuh terhadap SOP yang digariskan Jabatan Hutan Negeri masing-masing.

"Selain mendaki, aktiviti rekreasi umum seperti berkelah, beriadah, titian silara, menyelusuri sungai atau laut dengan bot, menikmati alam semula jadi, memerhati burung, jungle trekking, mendaki bukit, pembelajaran alam semula jadi, lawatan galeri dan muzium perhutanan, jelajah gua, penyelenggaraan fasiliti dan premis, senaman yang tidak melibatkan sentuhan badan dan kemudahan fizikal dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga aktiviti penggambaran dan perfileman, kajian dan penyelidikan eko pelancongan hutan, fasiliti penginapan (keluarga), perkhemahan persendirian dan keluarga serta lawatan berkumpulan tidak melebihi 20 orang, turut dibenarkan," katanya.

Katanya, aktiviti yang tidak dibenarkan ialah aktiviti air termasuk mandi manda di kolam awam, kolam takungan dan kolam air terjun, rekreasi sukan lasak motorcross, ATV, mountain bike, rock climbing dan paragliding, aktiviti tali abseiling, zipline, high rope, wall climbing, majlis keramaian hari keluarga, penganjuran kem motivasi, summer camp, perkhemahan bermalam dan penganjuran aktiviti pengurusan acara.

"Orang ramai dinasihati merujuk SOP Jabatan Perhutanan Negeri masing-masing untuk mengetahui SOP yang lebih terperinci mengikut keadaan semasa dan status zon koronavirus (Covid-19)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!