371 ahli sindiket penyeludupan migran diberkas
KUALA LUMPUR - Seramai 371 ahli sindiket penyeludupan migran diberkas dalam tempoh empat hari Op koronavirus (Covid-19) Benteng yang dilaksanakan sejak 4 hingga 7 Jun lalu.
Ahli sindiket yang ditahan itu terdiri daripada tekong darat dan laut, 'transporter', penyedia rumah transit dan ejen.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, daripada jumlah itu seramai 345 lelaki dan 26 wanita yang terdiri daripada warga tempatan, Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Myanmar.
"Kita menahan 124 ejen, 102 'transporter', 97 tekong dan 48 penjaga rumah transit atau rumah penampungan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
Huzir berkata, operasi itu adalah operasi fasa ketiga Op Covid-19 Benteng.
"Operasi ini telah dijalankan sejak 1 Januari lalu, jumlah keseluruhan ahli sindiket penyeludupan migran yang ditahan sehingga 7 Jun lalu adalah seramai 547 individu," katanya.
Beliau berkata, sebanyak empat kertas siasatan dibuka mengikut jenayah terancang dan 70 kertas siasatan dibuka mengikut penyeludupan migran.
"Purata umur individu yang ditahan adalah berusia 20 hingga 70 tahun. Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat dan perisikan dijalankan, lebih ramai warga asing dijangka masuk secara haram selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.
"Secara dasarnya apabila kita memperhebatkan tindakan pencegahan penyeludupan migran ini dari awal maka ahli sindiket akan terputus hubungan sekali gus dapat mematahkan cubaan untuk memasuki negara ini secara haram," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!