Panglima perang bersara wajib, Dr Noor Hisham sebak

Dr Rohaizat (tiga dari kanan) bersama pasukan panglima perang KKM yang diketuai oleh Dr Noor Hisham (dua dari kanan).
Dr Rohaizat (tiga dari kanan) bersama pasukan panglima perang KKM yang diketuai oleh Dr Noor Hisham (dua dari kanan).
A
A
A

PUTRAJAYA - Dewan yang digunakan untuk sidang akhbar perkembangan terkini koronavirus (Covid-19) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertukar suasana apabila Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan salah seorang panglima perangnya bersara wajib hari ini.

Dalam nada sebak, beliau mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon.

"Hari ini adalah hari terakhir salah seorang panglima perang saya yang bersama-sama memerangi Covid-19 telah bersara wajib.

"Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Rohaizat atas komitmennya," katanya.

Sementara itu, Dr Rohaizat ketika ditemui berkata beliau mahu berehat seketika sebelum memikirkan perancangan seterusnya.

"Mungkin selepas ini kalau saya bermimpi, saya akan bermimpi indah, bukan lagi mimpi Covid-19," katanya.

Menurutnya, bermula Disember tahun lalu, beliau bersama pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pernah berehat sebaik sahaja mengetahui mengenai pandemik Covid-19.

"Apa yang berlaku adalah pengalaman paling sukar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pasukan "panglima perang" yang diketuai oleh Dr Noor Hisham bekerja setiap hari bagi memastikan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan terbaik.

Dr Rohaizat (tiga dari kanan) bersama pasukan panglima perang KKM yang diketuai oleh Dr Noor Hisham (dua dari kanan).
Dr Rohaizat (tiga dari kanan) bersama pasukan panglima perang KKM yang diketuai oleh Dr Noor Hisham (dua dari kanan).

"Saya bertanggungjawab terhadap hospital, peralatan termasuk katil dan ventilator serta ubat.

"Bayangkan pernah suatu ketika kita hanya ada bekalan N95 untuk sehari, manakala ada hospital lain yang sudah kehabisan," katanya.

Dr Rohaizat berkata, tidak dapat digambarkan suasana pada ketika itu yang turun ke medan perang tanpa senjata.

"Bagaimanapun kita dapat mengharunginya dengan baik dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Dr Rohaizat,60, yang merupakan lulusan ijazah sarjana University of New South Wales dalam bidang Ijazah Sarjana Perancangan Kesihatan pada tahun 1991 telah berkhidmat dengan KKM selama 35 tahun 10 hari.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai pegawai perubatan di Johor pada tahun 1985 dan kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Hospital Kluang dari tahun 1988 sehingga 1990.

Kemudian beliau dilantik menjawat jawatan terakhirnya pada 25 Mac 2019 bagi menggantikan Datuk Dr Azman Abu Bakar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!