KKM terus pantau elak peningkatan kes mendadak

Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.- Foto Bernama
Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus melakukan pemantauan di hospital dan komuniti untuk mengelakkan berlaku peningkatan kes jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) secara mendadak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini hingga 31 Ogos depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia untuk membolehkan kesemua sektor seperti ekonomi, sosial dan pendidikan dapat dibuka secara menyeluruh selepas ini.

"Pemantauan ini sangat penting dan kita akan teruskan. Sekarang jadi tempoh untuk kita terus perkasakan orang awam agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Sekiranya hingga 31 Ogos kita dapat lihat perkembangan positif seperti situasi sekarang, kita akan pertimbangkan untuk melonggarkan kawalan sempadan negara," katanya pada sidang akhbar harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, jika penularan tempatan wabak itu dapat dikawal dan semua sektor kembali dibuka secara menyeluruh dan keadaan kembali normal, pihaknya akan memberi tumpuan terhadap kawalan sempadan antarabangsa.

Katanya, kelonggaran kawalan sempadan itu akan berpandukan dua perkara iaitu indeks global Covid-19 dan perbincangan dengan negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Thailand.

"Kelonggaran akan mengambil kira negara zon hijau atau yang telah bebas daripada wabak ini dan ia akan libatkan persetujuan kedua-dua negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!