Beg tangan mewah Rosmah diconteng ‘magic ink’
KUALA LUMPUR - Peguam bagi perbicaraan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendakwa beg tangan mewah yang disita dan diconteng dengan ‘magic ink’ mengalami kerosakan ketika ia ditanda oleh pihak polis yang melakukan rampasan.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ia disedari ketika Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam melakukan pemeriksaan terhadap barangan yang disita di Bank Negara Malaysia (BNM) pada 22 Februari lalu.
Menurutnya, ia menunjukkan berlakunya isu salah laku pihak berkuasa dan pihaknya mendesak penjelasan secara terperinci berhubung insiden berkenaan.
“Beg berharga jutaan ringgit rosak kerana ia ditanda secara terus, ia menunjukkan pihak berkuasa lalai dalam menjalankan tugas terhadap barangan terbabit.
“Sudahlah anak guam saya tidak diberi peluang untuk berada di lokasi ketika kesemua barangan dirampas, proses penyitaan dilakukan secara tidak teratur,” katanya ketika prosiding permohonan melucut hak harta di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin di sini semalam.
Bagaimanapun, ia dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin dan menyatakan kenyataan yang dibuat adalah satu tuduhan yang serius.
Beliau berkata, pihaknya mengesahkan terdapat isu keselamatan terhadap barangan yang disita membabitkan nilai yang sangat tinggi.
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan Najib untuk memeriksa barangan berkenaan dan mengarahkan pemeriksaan dilakukan bersama dua lagi pemohon, iaitu Rosmah dan syarikat pemborong barangan kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL (Global Royalty).
Muhammad Jamil berkata, sekiranya pemeriksaan tidak dapat dilakukan ekoran perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), barangan lain yang disita boleh diperiksa Najib dan Rosmah terlebih dahulu.
Muhammad Jamil juga membenarkan Najib untuk memeriksa sendiri barangan berkenaan bersama dua peguamnya manakala Rosmah ditemani seorang peguam.
Beg tangan mewah berkenaan disita daripada premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!