Kutipan zakat di Selangor merosot tiga peratus
SHAH ALAM - Kutipan zakat di Selangor menunjukkan penurunan sebanyak tiga peratus manakala agihan pula menyaksikan pertambahan hampir 22 peratus.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi satu kenyataan memaklumkan, antara Januari hingga Mac lalu, sebanyak RM134,154,747 zakat harta dikutip berbanding RM137,982,428 dalam tempoh sama berbanding tahun lalu.
Bagaimanapun, menurut info grafik yang dikongsikan LZS, bilangan pengeluar zakat harta menunjukkan peningkatan sebanyak empat peratus antara Januari dan Mac lalu iaitu 218,798 orang berbanding 210,901 orang pada tahun lalu.
“Tahun 2020 menyaksikan ujian pandemik Covid-19 mempengaruhi bukan sahaja kesihatan manusia sejagat malah memberi impak ekonomi seluruh dunia.
“Sepanjang Januari hingga Mac 2020, kutipan zakat di Selangor merosot sebanyak tiga peratus manakala agihan menyaksikan pertambahan 22 peratus untuk perbezaan tempoh yang sama tahun lalu,” menurut kenyataan itu.
LZS memaklumkan, sebanyak RM89,260,131 adalah hasil kutipan zakat pendapatan; RM16,281,400 (zakat simpanan); RM11,499,251 (zakat perniagaan); RM 6,281,724 (zakat harta); RM5,844,348 (zakat saham) dan selebihnya daripada kutipan zakat emas, tanaman, perak, ternakan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurut kenyataan itu, agihan zakat antara Januari hingga Mac lalu adalah sebanyak RM198,431,205 berbanding RM162,969,428 dalam tempoh sama tahun lalu.
“Sebanyak RM94,351,112 diperuntukkan kepada golongan miskin, RM37,851,481 untuk (golongan fakir); RM23,547,221 (fisabilillah); RM16,769,539 (amil); RM11,000,56 (mualaf) dan selebihnya kepada golongan gharimin, riqab dan ibnu sabil.
“Jumlah keseluruhan asnaf fakir dan miskin antara Januari hingga Mac lalu adalah sebanyak 56,482 keluarga,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu LZS memohon umat Islam sama-sama bermunajat dan beristighfar kepada ALLAH SWT supaya mengangkat wabak Covid-19 dari dunia ini.
Agensi tersebut juga turut mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) digariskan pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!