Dasar penetapan harga jualan runcit petrol, diesel tidak berubah

Datuk Alexander Nanta Linggi
Datuk Alexander Nanta Linggi
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel di negara ini ketika ini masih tidak berubah.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ia berikutan adanya laporan media berhubung pembatalan warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Penetapan harga runcit petrol dan diesel adalah melalui Mekanisme Harga Automatik (APM).

"Ia dipengaruhi oleh harga minyak yang diproses (refined products) selari dengan harga minyak mentah dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, harga jualan runcit petrol dan diesel ditetapkan secara mingguan dan dikuatkuasakan oleh KPDNHEP melalui warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sejak 30 Mac 2017.

Menurutnya, tujuan pewartaan adalah untuk menguatkuasakan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel oleh syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak agar tidak melebihi harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

"Bagaimanapun, mulai 29 Februari lalu, KPDNHEP telah menukar mekanisme penguatkuasaan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Perubahan mekanisme ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan di peringkat KPDNHEP sekiranya terdapat sebarang pelanggaran arahan di bawah akta yang berkuatkuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi menjamin kepentingan pengguna, Ahli Parlimen Kapit itu berkata, KPDNHEP komited untuk memastikan pematuhan semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak terhadap harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Katanya, mengambil kira trend semasa harga minyak mentah dunia, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah global serta akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!