UMNO belum setuju jadi komponen PN

Shahril (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Hussamuddin di Kompleks Karangkraf, Shah Alam hari ini.
Shahril (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Hussamuddin di Kompleks Karangkraf, Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO mengakui belum lagi bersetuju untuk menjadi sebagai parti komponen kepada Perikatan Nasional (PN) sehingga hari ini namun yakin perkara itu akan diselesaikan.

Menyatakan perkara itu, Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan yakin akan ada formula untuk menyelesaikannya sebagai mekanisme akhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan sendirinya, UMNO memainkan peranan sebagai sebahagian penubuhan kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ini situasi utama UMNO sekarang, mempertahankan kerajaan sedia ada. Kita konsisten dan dalam masa sama memastikan kerisauan rakyat dalam situasi koronavirus (Covid-19) dan keadaan ekonomi mencabar diberikan perhatian," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacob dalam kunjungan rasminya ke Sinar Harian di Kompleks Karangkraf di sini semalam.

Shahril mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Maszlee Malik yang meramal parti itu berdepan laluan sukar dalam PRU15 apabila UMNO menolak pendaftaran PN sebagai badan formal.

Sebelum ini, Dr Maszlee menjangkakan perkara itu susulan beberapa siri kenyataan daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang menolak pendaftaran PN sebagai badan formal termasuk kenyataan daripada Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau berkata, UMNO tidak perlu memikirkan jumlah sokongan diterima Pakatan Harapan (PH) yang sedang kemaruk kuasa sebaliknya menumpukan agenda membantu kerajaan Perikatan Nasional dalam memulihkan semula ekonomi negara.

"'Permainan angka’ yang dimainkan oleh pemimpin PH itu tidak lebih hanya sebagai perang psikologi pakatan pembangkang yang dilihat bimbang akan prestasi kerajaan sekarang yang semakin baik.

Artikel Berkaitan:

“Hanya 107 ahli Parlimen? Mula-mula dia (Anwar) sebut 129 (ahli Parlimen menyokong PH) kemudian sekarang sudah jadi 107. Kena tanya dia angka apa yang dia ada (lagi) dan bagi saya, fokus UMNO sekarang ialah membantu dalam pemulihan ekonomi.

“Itu bukan menjadi kerisauan kepada kita kerana kita yakin sebenarnya kalau ada angka tersebut benda ini (pertukaran kerajaan) dah berlaku dan ini hanya 'psiwar' daripada pihak PH yang risau akan prestasi yang baik kerajaan sekarang,” katanya.

Shahril mengulas pendedahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyentuh berkaitan mesyuarat PH, Parti Warisan Sabah dan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad di Petaling Jaya kelmarin semasa sesi siaran langsung di Facebook semalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!