250 individu sahaja dalam satu stadium

No Image Caption
A
A
A

La Liga bersedia berkongsi maklumat kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mengenalpasti prosedur operasi standard (SOP) terbaik daripada mereka yang bakal menyaksikan saingan liga utama Sepanyol itu kembali bersambung pada Jumaat ini.

Menurut Delegasi La Liga di Malaysia, Giorgio Pompili Rossi, SOP yang terbaik amat penting bagi memastikan saingan liga kembali bersambung dan LaLiga begitu menitikberatkan aspek berkenaan agar ia dapat berlangsung dengan lancar selepas sekian lama menanti ekoran wabak Covid-19.

Antara yang menjadi kepentingan untuk liga utama Sepanyol ini adalah protokol keselamatan untuk setiap perlawanan iaitu pasukan akan beraksi tanpa penonton di mana stadium akan dibahagikan kepada zon-zon keselamatan selain bangku simpanan akan dijarakkan dan paling utama adalah sidang media selepas perlawanan akan diadakan secara maya.

Manakala perkara lain tidak kurang bezanya di Malaysia yang memerlukan setiap pegawai dan pemain wajib memakai alat perlindungan seperti penutup hidung dan mulut serta menjaga kebersihan diri sebaiknya di stadium.

“Ini adalah protokol yang La Liga sediakan dan bagi pihak kami, sekiranya Liga Malaysia memerlukan sokongan dan pertolongan, sudah pasti kami bersedia membantu tetapi perlu diingat setiap negara adalah berbeza.

“Cuma daripada segi protokol dan SOP, sekurang-kurangnya kami dapat kongsikan kepada MFL untuk dijadikan sebagai landasan dan penanda aras sebelum mereka memulakan kembali liga selepas ini.

“La Liga sentiasa berbesar hati untuk berkongsi dan menyokong apa yang dilakukan oleh MFL dan sebagai rakan kongsi, apa yang kita boleh bantu, kita bantu di mana setiap peraturan yang La Liga keluarkan ini semestinya bersesuaian dengan negara kami dan mungkin ada sesetengah perkara perlu ditambah lagi untuk menepati kesesuaian di Liga Malaysia pula,” katanya.

Tambah Rossi, hanya 250 individu sahaja dibenarkan untuk berada dalam satu stadium yang membabitkan pegawai pasukan, pemain, jurulatih, barisan pengadil, pihak penyiaran, pengawal keselamatan serta pasukan perubatan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semua yang terlibat perlu memasuki stadium menerusi laluan masuk yang dibuka khas untuk mereka bagi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan terjamin sebelum dibenarkan berada di dalam stadium.

Terdahulu, Rossi bersama Duta La Liga iaitu Diego Forlan mengadakan sesi soal jawab media pada Selasa bagi berkongsi perkembangan La Liga khususnya daripada aspek peraturan baharu dan SOP yang dikeluarkan mereka selepas mendapat lampu hijau untuk kembali bersaing.

La Liga akan kembali bersambung yang membabitkan pertemuan Real Betis menentang Sevilla terlebih dahulu.

Di Malaysia, semua pasukan sudah dibenarkan untuk kembali memulakan sesi latihan dengan SOP yang ketat mulai 15 Jun ini dan mengikut perancang jika mendapat kebenaran kerajaan, Liga Malaysia dijangka bersambung semula pada September depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!