Periksa suhu anak sebelum ke sekolah

Gambar kecil: Mohd Azizee dan Mohamad Ali
Gambar kecil: Mohd Azizee dan Mohamad Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung pembukaan semula sesi persekolahan pada 24 Jun ini disambut baik dengan beberapa cadangan yang wajar diberi perhatian.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, sebuah jawatankuasa pemantau perlu digerakkan bagi memastikan setiap sekolah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) untuk menerima kehadiran pelajar.

Selain itu, katanya, pihaknya juga mencadangkan seluruh kawasan sekolah khususnya tempat-tempat yang sering digunakan pelajar disanitasi secara menyeluruh.

“Bagi ibu bapa, saya sarankan memeriksa suhu anak-anak di rumah sebelum ke sekolah. Mungkin agak memerlukan kos untuk menyediakan alat berkenaan namun usaha ini mungkin boleh diberi perhatian.

“Kita bimbang sekiranya ada yang terlepas pandang daripada menjalani tapisan saringan suhu kerana murid yang ramai. Jika dari rumah sudah melebihi suhu yang dibenarkan, tak perlu ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, pihak sekolah juga disaran menyediakan kain sapu tangan atau tisu yang mencukupi dalam usaha menggalakkan amalan mencuci tangan lebih kerap. “Selain itu diharapkan juga penggunaan surau-surau di sekolah turut memenuhi SOP ditetapkan seperti yang dibuat di surau dan masjid di luar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berharap semua warga pendidik berasa gembira dan bersedia untuk memulakan tugas dalam suasana normal baharu.

“Memulakan tugas dalam suasana normal baharu dengan menekankan aspek keselamatan dan kesihatan, mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan mengamalkan disiplin yang tinggi berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah.

Artikel Berkaitan:

“iGuru juga berharap pihak ibu bapa memberikan kerjasama yang baik dengan pihak sekolah untuk memastikan anak-anak yang hadir ke sekolah dapat mematuhi dan mengikuti segala SOP yang digariskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pada masa sama, iGuru mencadangkan pengetua atau guru besar diberikan kuasa autonomi untuk merancang persiapan pengurusan pembukaan semula sekolah dengan mengambil kira fleksibiliti dan kesesuaian sekolah masing-masing.

“Hal ini bagi mengelakkan guru-guru berasa terbeban dalam menjalani kehidupan normal baharu dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

“Ia juga bertujuan untuk memastikan pelajar-pelajar melalui proses pembelajaran dengan baik serta sekolah dapat beroperasi dalam keadaan yang selamat,” katanya.

Sementara itu, iGuru turut menyeru semua guru agar dapat memberikan sepenuh komitmen dan disiplin diri yang tinggi dalam melaksanakan tugas dengan sebaiknya serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!