Setahun selepas pembedahan, Ainul Mardhiah kini suka kartun
MELAKA TENGAH - Hari ini genap setahun tarikh pembedahan yang memberikan sinar baharu dalam kehidupan sebuah keluarga yang begitu menyayangi seraut wajah comel bernama Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin.
Keadaan kesihatan bayi yang kini berusia setahun enam bulan itu sudah bertambah baik dan keletahnya cukup menggembirakan ibu bapanya, Ahmad Saifiuddin Ahmad Razak, 25 dan Nurul Erwani Zaidi, 24.
Ahmad Saifiuddin berkata, tarikh 11 Jun 2019 tidak akan dilupakan seumur hidup selepas Ainul Mardhiah yang mesra dipanggil Ainul berjaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya akibat kanser Germ Cell Tumor di London pada Jun tahun lalu.
"Alhamdulillah, syukur. Sejak pembedahan di London pada 11 Jun tahun lalu hingga sekarang, keadaan Ainul semakin baik dan dia semakin lasak malah sudah pandai bermain. Tarikh pembedahan ini memang tidak akan kami lupakan termasuk keadaan dan penderitaan terpaksa dilalui Ainul sebelum pembedahan itu sehingga keadaannya yang sekarang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ayer Molek.
Kehidupan keluarga Saifiuddin dan Nurul Erwani bakal bertambah serinya apabila pasangan itu bakal menimang cahaya mata kedua dijangka bulan depan sekali gus bakal menjadi teman Ainul Mardhiah yang kini begitu gemar menonton rancangan kartun Omar dan Hana.
Ahmad Saifiuddin berkata, tarikh 11 Jun tahun ini pastinya dilalui dengan lebih gembira susulan perkembangan kesihatan Ainul Mardhiah, lebih-lebih lagi bayi comel itu bakal bergelar kakak tidak lama lagi.
Menurutnya, walaupun masih lagi bergantung dengan mesin oksigen tetapi Ainul Mardhiah sudah mula belajar berdiri berkemungkinan sudah mula untuk belajar berjalan.
Tambah lelaki tabah tersebut, walaupun perkembangan anak pertamanya itu agak perlahan berbanding kanak-kanak normal seusia, namun melihat senyuman yang terukir di bibir dan telatahnya saban hari, cukup memberikan harapan baharu kepada mereka sekeluarga.
Selain tarikh pembedahan itu menjadi sejarah dalam keluarganya, Ahmad Saifiuddin yang mengusahakan kedai runcit produk Muslim berkata, dia sekeluarga tidak sesekali melupakan beberapa insan yang mendorong kehadiran sinar baharu dalam kehidupan mereka anak beranak.
"Saya berterima kasih kepada doktor -doktor yang banyak membantu sama ada di Malaysia dan di London termasuk Doktor pelatih pakar bedah dari Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang mendoakan Ainul," ucap lelaki itu.
Menurutnya, mereka sekeluarga masih berhubung dengan Dr Nur Amalina dan pada hari raya Aidilfitri baru-baru ini doktor pelatih terkenal itu turut bertanyakan mengenai perkembangan Ainul Mardhiah dan beliau turut teruja dengan keadaan positif bayi tersebut.
Kisah Ainul Mardhiah pernah mendapat perhatian susulan ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya bagaimanapun ia berjaya dibuang dalam satu pembedahan pada Jun tahun lalu di London.
Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan pakar bedah dan bius, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.
Penderitaan Ainul Mardhiah juga mendapat perhatian orang ramai yang menyumbang sehingga RM4 juta bagi membolehkan bayi itu diterbangkan ke London untuk menjalani pembedahan.
Kini bayi itu tersenyum comel sekali. Esok genap setahun usia pembedahan yang melorongkan sinar bahagia untuk Ainul!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!