TUMPAT - Gambar tular penemuan beberapa ekor bangkai kambing yang bergelimpangan di dalam sebuah tali air berhampiran Balai Polis Bunohan di sini yang dimuat naik seorang penduduk di Facebook menimbulkan tanda tanya penduduk setempat. Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud ketika dihubungi Sinar Harian berkata, berpandukan kepada maklumat yang diterima, kambing tersebut dikatakan telah mati semasa berada di atas lori. "Bagaimanapun, pemilik kambing tersebut telah bertindak membuang haiwan itu ke kawasan berkenaan," katanya. Menurutnya, kes tersebut tidak mempunyai hubung kait dengan perlakuan jenayah. Katanya, pihak polis telah menghubungi pemilik haiwan tersebut dan memintanya supaya melupuskan bangkai itu secara lebih teratur dan sistematik. "Saya harap penduduk tidak mengulangi perlakuan ini. "Seelok-eloknya lupuskan bangkai haiwan dengan mengikut tatacara yang betul bagi mengelakkan syak wasangka orang ramai," katanya.